RAMAI yang memberikan nasihat dan tIdak kurang juga pandangan saat mengetahui yang dirinya kini rapat dengan seorang pemain bola tanah air. Bagaikan satu sumpahan antara artis dan pemain bola, begitu juga dengan persahabatan yang terjalin antara Ruhainies dan Safawi Rasid yang disambut dengan ‘halilintar’ oleh mereka yang kurang senang.
Bagi pelakon yang berusia 26 tahun, tiada apa yang perlu dirisaukan memandang antara mereka baru sahaja berkenalan. Apa yang pasti masing-masing tahu membawa diri dan tidak terpengaruh dengan kata-kata sinis yang dilemparkan oleh segelintir pihak kepada mereka.
“Saya sudah biasa dikecam dan sudah biasa menghadapi kisah panas. Tapi rasa kasihan pula kepada dia yang baru pertama kali dihambat dengan berita-berita macam ni. Dia masih baharu dan usahlah dihentam berlebihan sangat kerana berkawan dengan saya.
“Kalau tak ada perkara baik yang nak diperkatakan, rasanya lebih baik diam sahaja. Ada segelintir netizen yang mengeluarkan kata-kata kurang manis kepada dia. Berilah ‘muka’ sedikit,” kata Ruhainies bercerita.
Sejak seminggu yang lalu heboh berita yang mengatakan Ruhainies menjalinkan hubungan cinta dengan pemain bola berkenaan. Bagaikan halilintar, begitu juga dengan tangan segelintir pihak yang terus menghentam dan menghukum kisah mereka di media sosial.
Bagi adik kepada pelakon Risteena ini, dia seboleh-bolehnya enggan mengheret sama penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada berita-berita yang boleh menjatuhkan moral pemain bola profesional sepertinya sedangkan atlet seperti itu perlu fokus tanpa sebarang gangguan.
“Saya tahu dia tertekan saat berita tentang kami keluar seminggu dua ini. Netizen pula tanpa membaca apa cerita sebenar terus menghentam dan mengutuk. Sepatutnya mereka perlu tahu apa isi berita yang nak disampaikan sebelum menjatuhkan hukum.
“Sebab itu saya nasihatkan dia supaya tidak membaca komen negatif yang ditulis oleh entah siapa-siapa. Kalau mereka mengatakan berhak menulis apa yang di fikiran, kami juga berhak untuk tidak membacanya. Senang!” kata Ruhainies lagi.










