Kapal layar Utarid berjaya rentas Laut China Selatan - Utusan Malaysia

Kapal layar Utarid berjaya rentas Laut China Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANGGAR – Pengalaman ditahan pihak berkuasa Singapura lebih kurang sejam kerana dianggap penceroboh di perairan negara republik itu antara yang tidak dapat dilupakan 15 pelayar kapal layar Utarid.

Insiden ‘pahit’ tersebut berlaku ketika mereka dalam pelayaran dari Armada Barat, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak menghala ke Armada Timur Pangkalan TLDM Sepanggar di sini.

Ketua Pelayaran, Leftenan Komander Mohamad Hamdan Mohd. Shamsuddin berkata, ketika ditahan pihaknya memberikan kerjasama penuh terhadap pihak berkuasa Singapura kerana menghormati dan memahami bidang tugasan mereka.

Menurut Mohamad Hamdan, kapal layar Utarid tidak dibenarkan meneruskan pelayaran kerana berlaku kekeliruan komunikasi antara kedua-dua pihak di Selat Singapura.

“Kejadian tersebut belaku ketika dalam perjalanan ke Tanjung Pengelih di Johor yang mana kami memasuki kawasan Selat Singapura sebelum ditahan pihak berkuasa negara terbabit.

“Pasukan keselamatan Singapura mengesyaki kami penceroboh namun, perkara itu berjaya diselesaikan selepas menunjukkan kad identiti ketenteraan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Bot Utarid di Pulau Udar Pangkalan TLDM di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Panglima Armada Timur, Laksamana Pertama Khalid Jafar dan Panglima Logistik Laksamana Ir. Ow Kiat Bin.

Terdahulu, seramai 15 anggota memulakan pelayaran dalam tempoh 15 hari dari Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut di Perak ke Armada Timur Pangkalan TLDM Sepanggar dekat sini dengan diiringi lima aset TLDM.

Utarid merupakan kapal layar pertama ditempatkan di Pangkalan TLDM Sepanggar yang mampu memuatkan 20 kru dengan ketahanan menahan ombak setinggi 3.5 meter. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN