KOTA KINABALU – Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) menafikan berlakunya kejadian sebuah gerabak kereta api dilaporkan terjatuh ketika diangkat menggunakan kren di Pelabuhan Sepanggar, Sepanggar baru-baru ini.
Pengurus Besar JKNS, Melvin V. Majanga berkata, insiden tersebut adalah melibatkan mesin penyelenggaraan pengangkutan rel (ballast regulator) yang dibekalkan kepada JKNS.
“Dimaklumkan, insiden di pelabuhan hanya melibatkan ballast regulator yang dibekalkan kepada JKNS untuk penyelenggaraan landasan bukannya kereta api seperti yang didakwa segelintir pihak.
“Jentera itu juga belum diserahkan kepada JKNS dan ia masih di bawah tanggungjawab pembekal,” katanya dalam satu kenyataan ringkasn hari ini.
Tambah Melvin, pihak JKNS hanya akan menerima jentera tersebut dalam keadaan sempurna.
Terdahulu, pada hari ini tular satu rakaman video berdurasi satu minit memaparkan sebuah mesin penyelenggaraan landasan kereta api terjatuh ketika diangkat menggunakan kren di Pelabuhan Sepanggar dekat sini.
Semasa proses memindahkan mesin terbabit ke treler, secara tiba-tiba tali yang mengikat mesin itu terputus dan terjatuh di atas treler.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – K! ONLINE










