KUALA LUMPUR 9 Julai – Sebarang cadangan untuk menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun memerlukan proses penelitian dan kajian terperinci daripada semua pihak sebelum dilaksanakannya.
![]() |
|
MUZAFFAR SHAH MALLOW
|
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, ini kerana perkara itu melibatkan masa depan negara dan golongan muda sendiri.
Malah, kata beliau, hakikatnya perkara tersebut memerlukan proses yang panjang termasuk pindaan terhadap peruntukan dan undang-undang yang berkaitan.
“Berdasarkan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, tiap-tiap warga negara yang berumur 21 tahun yang bermastautin di dalam mana-mana bahagian pilihan raya dan berdaftar sebagai pengundi, berhak untuk mengundi dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri. Isu ini diperkukuhkan lagi di bawah Akta Pilihanraya 1958 (Akta 19) yang mentafsirkan pengundi adalah seseorang telah mencapai usia 21 tahun mengikut Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.
“Walaupun, peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan pilihan raya menjelaskan had umur layak mengundi di Malaysia adalah pada 21 tahun, namun isu yang perlu diberi penekanan bukanlah dari aspek perundangan semata-matanya.
“Sebelum sebarang pindaan dilakukan, harus ditanya sama ada golongan usia muda itu sudah bersedia terlibat dalam politik melalui proses pilihan raya atau tidak. Isu politik bukan hanya memerlukan tahap kepandaian di peringkat sekolah tetapi lebih penting tahap kematangan tinggi agar tidak mudah menjadi mangsa dakyah politik yang dibawa oleh mana-mana pihak mahupun parti politik di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. – UTUSAN ONLINE











