BARU-BARU ini, saya ada terbaca laporan yang menyebut salah seorang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menyatakan mereka sedang mempertimbangkan cadangan menaikkan caj beg plastik yang kini ditetapkan sebanyak 20 sen.
Cadangan itu dibuat kerana kononnya caj semasa 20 sen bagi setiap beg plastik adalah terlalu murah dan orang ramai sanggup membayarnya sekali gus menjejaskan usaha mengurangkan penggunaan beg plastik dalam urusan harian.
Untuk pengetahuan ahli Exco Negeri Selangor itu, rakyat sudah lama melihat tembelang kerajaan yang kononnya berkebajikan itu. Baru beberapa hari memerintah, dengan sewenang-wenangnya mahu menaikkan caj atau mengenakan kos tambahan kepada pengguna.
Cukup-cukuplah bercerita mengenai tindakan yang akan menambah beban pengguna dengan kos tambahan seolah-olah mahu menghukum pengguna di Selangor dengan pelbagai caj seperti ini sedangkan isu tersebut seharusnya ditangani secara holistik.
Saya bersetuju dengan usaha mengurangkan penggunaan beg plastik kerana kesannya terhadap alam sekitar tetapi apakah rakyat telah dididik supaya membawa beg sendiri ketika membeli-belah?
Menaikkan caj beg plastik hanya boleh dibuat jika kerajaan negeri sudah habis ikhtiar sebaliknya jika masih ada pilihan lain, cuba elakkan menambah beban rakyat.
Cuba fikirkan, apakah usaha mendidik rakyat untuk membawa beg sendiri apabila ke pasar raya sudah memadai?
Proses mendidik ini perlulah berterusan dan menaikkan caj plastik hanya pilihan akhir.
Pada masa sama, mengapa tidak kerajaan negeri mengesyorkan pasar raya pula menjual beg-beg membeli belah yang boleh digunakan berulang kali pada harga RM1 setiap satu atau lebih murah.
Beg ini juga boleh menjadi alat pengiklanan pasar raya terbabit.
Kosnya boleh disubsidikan pasar raya kerana mengiklankan premis perniagaan mereka.
Pendek kata, ada banyak pilihan yang harus dicuba dahulu untuk satu tempoh masa sebagai usaha mendidik pengguna sebelum membuat keputusan menaikkan apa juga caj yang boleh membebankan rakyat.
Nilai 20 sen bagi setiap beg plastik sebenarnya satu beban yang terpaksa ditanggung oleh semua termasuk golongan yang mengundi kerajaan Pakatan Harapan.
Justeru, cadangan menaikkan caj beg plastik adalah tidak bertanggungjawab.
Jangan tambah beban rakyat sebaliknya sebagai kerajaan yang kononnya berkebajikan, cuba fikirkan bagaimana membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
Rakyat memerhati dan akan menghukum pemimpin atau parti yang tidak menunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini.
WAK KEMIN
Shah Alam, Selangor










