Jangan anggap rasuah bahan jenaka - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Jangan anggap rasuah bahan jenaka – Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR 8 Julai – Masyarakat perlu mengikis tanggapan rasuah sebagai bahan jenaka, sebaliknya melihat jenayah itu sebagai najis yang busuk sehingga berupaya menghancurkan komuniti dan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, masyarakat perlu ada budaya baharu, iaitu melihat rasuah sebagai teruk dan memberi impak negatif kepada semua pihak.

“Waima apa jenis rasuah pun sekecil RM5 atau sampai rasuah berbilion ringgit, kalau dari awal kita cakap tak apalah ini RM5 sahaja, duit kopi lama-kelamaan dia akan jadi lebih teruk.

“Saya rasa bagi anak muda khususnya kalau mereka amalkan rasuah pemberi dan penerima akan dihukum setinggi tingginya supaya mereka tak lakukan lagi,” katanya selepas merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Md. Ysahrudin Kusni; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pematuhan LHDN, Abdul Manap Dim dan Pengarah LHDN negeri, Mohd. Ramli A. Wahid.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkaitan kebimbangan kerajaan terhadap statistik yang menunjukkan lebih separuh daripada pesalah rasuah di negara ini adalah golongan belia.

Wan Azizah berkata, sebanyak 2,238 atau mewakili 55.2 peratus pesalah rasuah sejak 2013 hingga Mei lalu terdiri daripada golongan berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN