KUALA LUMPUR 18 Julai – Desakan segelintir pihak yang mahu mengusir pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik serta menghapuskan sekolah tahfiz dan menyamakan Islam dengan agama lain dalam mencari makna kebenaran dianggap dilakukan secara tidak adil dan dalam konteks hujah yang sebenar.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpandangan, tindakan tersebut tidak mampu menandingi bahasa al-Quran serta nilai ilmunya yang tinggi.
Menurut beliau, bahasa al-Quran dipilih oleh Allah SWT dan sehingga kini masih menjadi bahasa dalam persidangan antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di samping bahasa penjajah lain.
“Terlalu banyak kajian para orientalis dan saintis yang telah berpihak kepada kebenaran al-Quran, yang boleh dibandingkan secara ilmu dengan adil dan jujur bagi menambahkan keyakinan kita kepada mukjizat al-Quran sebenarnya daripada Allah.
“Contohnya, masih banyak istilah sains menggunakan perkataan al-Quran bahkan penggubal undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia menjadikan al-Quran sebagai rujukannya. Maka, terlalu kerdilnya suara di sini yang berlagak terlanjur bijak, tetapi mendedahkan bebal sehingga memperkecilkan al-Quran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Hadi menambah, kuasa politik yang dimiliki umat Islam wajib digunakan untuk memberi perlindungan kepada langkah dan tindakan mempertahankan Islam dan al-Quran sebagai kitab suci.
Tegas beliau, umat Islam juga wajib mempertahankan fardu ain dan fardu kifayah.
“Umat Islam juga wajib mempertahankan secara fardu ain mengikut kemampuan masing-masing atau fardu kifayah melalui apa sahaja kumpulan Islam sama ada parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masih ada cintanya kepada Islam dan kitab suci al-Quran dalam diri masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE










