PUTRAJAYA 8 Julai – Jabatan Imigresen mempertahankan tindakannya memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) di samping menegaskan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak demi memastikan kedaulatan undang-undang dan keselamatan tanah air dipertahankan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, walaupun negara masih memerlukan pekerja asing, sebaliknya para majikan perlu mematuhi undang-undang negara.
“Janganlah mana-mana pihak sibuk menegakkan undang-undang, sebaliknya menyalahkan agensi penguat kuasa yang tegas melaksanakan tugas berlandaskan peraturan.
“Peluang menggajikan pekerja yang sah memang disediakan tetapi perlu mengikut syarat-syarat ditetapkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini
Beliau mengulas gesaan Majlis Peguam agar kerajaan menghentikan segera operasi membanteras PATI kerana mereka tidak mempunyai saluran mendapatkan dokumen sah dengan sendiri, sebaliknya hanya bergantung kepada majikan.
Gesaan itu susulan operasi besar-besaran menerusi Ops Mega yang dijalankan terhadap PATI bermula 1 Julai lalu.
Pada masa sama, Mustafar menjelaskan, demi memelihara dan mempertahankan kedaulatan serta keselamatan negara, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pengambilan PATI.
Tegasnya, peraturan negara perlu ditegakkan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Jika kelihatan warga asing berduyun-duyun di negara ini, agensi penguat kuasa pula dikatakan lemah dan tidak mengambil tindakan.
“Tetapi apabila agensi penguat kuasa bertindak terhadap pendatang haram, kami pula terus dipersalahkan,” katanya.











