KUALA LUMPUR 8 Julai – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru) bimbang dengan usaha pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) kerana ia akan terus melebarkan usaha integrasi dan perpaduan di Malaysia.
Presidennya, Mohd. Azizee Hasan berkata, I-Guru juga sangsi dengan kesediaan pihak kerajaan negeri Melaka yang mengambil penjawat awam lulusan UEC yang hanya mahu peperiksaan Bahasa Melayu sahaja yang diwajibkan sebagai syarat pengiktirafan.
“Sedangkan peperiksaan lain masih mengekalkan bahasa Cina. Bahkan kurikulumnya berkiblatkan negara China dan Taiwan serta mengekalkan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar.
“I-Guru berpandangan, pengiktirafan UEC dengan syarat sebegini hanya akan meneruskan dua aliran pendidikan yang berbeza dan seterusnya menyumbang kepada pemisahan ideologi, cara hidup dan pergaulan dikalangan rakyat Malaysia,” kata Mohd. Azizee dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Mohd. Azizee, I-Guru menzahirkan rasa bimbang dengan kerapuhan jatidiri pelajar yang lahir dari kurikulum yang berkiblatkan negara lain.
Beliau mempersoalkan bagaimana semangat patriotisme dapat disemai tanpa bersandar kepada kurikulum nasional sebagai teras pendidikan dan pembinaan jatidiri.
“I-Guru menyeru agar kerajaan negeri PH bersikap lebih tegas menolak usaha-usaha untuk menghalang perpaduan ini.
“Kerajaan PH seharusnya mengenepikan perbezaan politik dalam menangani isu ini sekiranya benar-benar komited untuk merealisasikan hasrat perpaduan, pembinaan negara bangsa dan gagasan Malaysia,” tegas Mohd. Azizee.
Jelas Mohd. Azizee, pendidikan sangat penting untuk mewujudkan perpaduan, semangat patriotisme serta menjamin kestabilan negara.
Hala tuju negara dipupuk dan ditentukan melalui pendidikan. Maka kurikulumnya mestilah berasaskan falsafah pendidikan kebangsaan dan dalam kerangka mendaulat bahasa kebangsaan.-UTUSAN ONLINE










