KUALA LUMPUR 9 Julai – Singapura masih menunggu penjelasan dari Malaysia berhubung kedudukan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan terus menanggung kos berkaitan bagi memenuhi tuntutan di bawah perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua negara itu.
Laporan Straits Times di Singapura yang memetik Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Vivian Balakrishnan berkata, kerajaan Singapura telah mengemukakan nota diplomatik kepada Malaysia meminta penjelasan mengenai isu berkenaan.
Ini berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada Mei lalu yang mahu projek itu ditangguhkan.
Menurut laporan tersebut, Balakrishan berkata demikian di Parlimen sebagai menjawab persoalan daripada ahli parlimen mengenai hubungan antara Singapura dan Malaysia.
“Kami menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan Malaysia dalam nota yang telah diberikan kepada mereka.
“Sama ada Malaysia yang menyebabkan projek itu diberhentikan, kami akan menilai berapa jumlah pampasan daripada kerajaan Malaysia sejajar dengan perjanjian yang dimeterai dan juga undang-undang antarabangsa.
“Kerajaan Singapura mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dana awam dalam menangani kos ini,” katanya dalam laporan berkenaan.
Pada 28 Mei lalu, Dr. Mahathir memberitahu, kerajaan telah membuat keputusan akhir untuk membatalkan projek HSR kerana tidak memberi manfaat serta melibatkan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review pada 13 Jun lalu, beliau dilaporkan berkata, projek HSR hanyalah ditangguhkan, bukannya dibatalkan sebagaimana diputuskan sebelum ini.









