Walaupun telah bertapak sejak tahun 2004, pemilik dan pengasas Restoran Asam Pedas Setiawangsa, Ashaari Nasir sentiasa berusaha meningkatkan mutu makanan yang dihidangkan kepada pelanggan setiap hari.
“Memandangkan nama restoran adalah asam pedas, semua bahan saya ambil khas dari Melaka termasuk pes asam pedas, karipap pusing cik nyonya, tapai pulut, cucur udang Alor Gajah,” katanya semasa ditemui di Restoran Asam Pedas Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mulanya, Ashaari hanya memperkenalkan tiga jenis asam pedas iaitu asam pedas ikan pari, asam pedas tenggiri dan asam pedas daging. Ketiga-tiga menu ini adalah berbeza kerana ikan pari ditambah dengan daun kesum, tenggiri dengan limau purut sementara daging pula ditambah lengkuas.
Kini Restoran Asam Pedas Setiwangsa telah menambah tiga lagi menu asam pedas iaitu asam pedas ikan kembung, asam pedas ikan jenahak dan asam pedas ikan merah yang kini menjadi pilihan pelanggan.
“Bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan kami mempunyai dua set kombo untuk individu iaitu Set Asam Pedas Melaka yang terdiri daripada nasi, telur masin dan ikan masin, ulam timun dan salad serta pilihan ikan asam pedas.
“Atau set kombo individu kedua yang terdiri daripada nasi, telur masin dan ikan masin, ulam timun dan salad, sayur campur, teh limau ais, tapai pulut dan pilihan ikan asam pedas,” katanya.
Bagi memberikan pelanggan persekitaran seperti masakan kampung, Restoran Asam Pedas menghidangkan empat pilihan nasi dulang yang dihidangkan di atas dulang dengan pilihan asam pedas, sayur campur dan telur dadar serta dua pilihan lauk tambahan dengan nasi dan air sirap cincau sesuai untuk dua hingga empat orang.
“Kami juga memberikan pelanggan pengalaman makan nasi minyak kenduri kahwin yang dinamakan nasi owel (oil) iaitu nasi minyak yang dihidangkan dengan ayam kurma special, papadom serta air sirap.
“Ini bagi membangkitkan nostalgia kampung walaupun masing-masing tinggal di kawasan bandaraya Kuala Lumpur yang sibuk,” katanya.
Pelanggan yang tidak mahu asam pedas boleh sahaja memesan pelbagai menu lain seperti mi sup ala tengkera, mi goreng mamak, mi kari power, nasi goreng, tomyam, ayam goreng kunyit, ayam kicap nyonya, ayam ala siam.
Terdapat juga pelbagai pencuci mulut seperti lempeng kelapa dan sambal bilis, lempeng pisang, lempeng aiskrim, cekodok bilis, cendol special dan sweet sago yang boleh dipilih oleh pelanggan.
“Kami juga sentiasa meningkatkan kualiti makanan dan mengkaji menu apa yang menjadi piihan pelanggan. Hampir semua menu di sini adalah hasil resipi emak saya yang memang berasal dari Melaka.
“Jadi sesiapa yang ingin merasai asam pedas bolehlah singgah di sini. Lokasi kami sangat hampir dengan stesen LRT Setiawangsa hanya empat hingga lima minit berjalan kaki,” katanya.
Info
Asam Pedas Setiawangsa
6-G Jalan Jelatek 1,
Jelatek Business Park,
54200 Kuala Lumpur
Tel: 03-42525645/017-6588908
Facebook: Asampedas Setiawangsa
Instagram: asampedas-setiawangsa
Waktu operasi: 11 pagi hingga 11 malam setiap hari










