PUTRAJAYA 9 Julai – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Mohamed Hanipa Maidin yang rebah dari pentas ketika perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi tadi telah sedar dan berada dalam keadaan stabil.
![]() |
|
LEE BOON CHYE
|
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, walau bagaimanapun Hanipa perlu dipantau sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam.
“Beliau mahu keluar dari wad tetapi doktor masih belum benarkan kerana perlu dipantau.
“Punca beliau rebah kita belum ketahui,” katanya ketika ditemui pada majlis Perjumpaan Khas Menteri bersama Kakitangan Kementerian Kesihatan di kementerian itu di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi ketika Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada perhimpunan bulanan JPM, Hanipa yang berdiri paling kanan dalam barisan menteri dan timbalan menteri JPM tiba-tiba jatuh dari pentas.
Ahli Parlimen Sepang itu terus diberikan rawatan kecemasan oleh anggota paramedik sebelum dikejarkan ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut.-UTUSAN ONLINE











