LONDON – Juara dunia empat kali, Lewis Hamilton mendakwa, insiden pelanggaran melibatkan dirinya dengan Kimi Raikkonen merupakan sebahagian daripada strategi Ferrari.
Pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain di Litar Silverstone kelmarin, Hamilton yang memulakan perlumbaan di petak pertama dilihat bakal meraih kemenangan buat kali kelima berturut-turut di litar berkenaan.
Impian tersebut tidak kesampaian apabila sebaik tiba Hamilton di selekoh ketiga, Raikkonen secara tiba-tiba melanggar tayar jenteranya sehingga menyebabkan pelumba pasukan tuan rumah itu terbabas di luar litar.
Insiden berkenaan memberi kelebihan kepada pendahulu saingan, Sebastian Vettel untuk menguasai sepanjang perlumbaan sebelum muncul juara.
Bagaimanapun aksi cemerlang Ha- milton yang dapat meneruskan perlumbaan telah berjaya mengejar setiap pelumba di depannya, sekali gus menamatkan saingan di kedudukan kedua. Tempat ketiga menjadi milik Raikkonen selepas Valtteri Bottas berdepan masalah cengkaman tayar.
“Bagi saya, Mercedes beraksi dengan baik selepas berdepan tugas sukar dan tekanan di sepanjang minggu ini. Ferrari menggunakan taktik yang sangat baik.
“Namun, kami tidak akan berdiam diri dan akan terus bersaing dengan mereka pada perlumbaan akan datang.
“Saya boleh katakan bahawa dua perlumbaan menyaksikan Ferrari menyingkirkan salah satu jentera Mercedes. Insiden berkenaan menyebabkan saya dan Bottas kehilangan banyak mata.
“Saya tidak akan menoleh ke belakang, jadi kami perlu berusaha lebih keras untuk meletakkan diri kami di kedudukan lebih baik supaya tidak terdedah kepada kereta merah (Ferrari) kerana siapa tahu mungkin insiden kemalangan tersebut akan berulang,” katanya.
Hasil kemenangan tersebut, Vettel kini menjarakkan carta kedudukan pelumba dengan kelebihan lapan mata di depan Hamilton. Kejayaan Vettel juga merupakan kemenangan keempatnya musim ini dan ke-51 dalam kariernya. – Agensi









