AMPANG – Seorang guru lelaki yang dipercayai mencabul murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah sekolah di daerah ini pada Mei lalu telah ditahan polis semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di sekitar daerah ini kira-kira pukul 2 petang tadi.
“Polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada 16 Jun lalu namun difahamkan keluarga mangsa membuat laporan tersebut sebagai rujukan untuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi tindakan selanjutnya.
“Setelah menerima laporan berkenaan, kami membuka kertas siasatan untuk tindakan selanjutnya namun tiada perkembangan hasil perbincangan dengan pihak berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Fadzil menambah, pada awal Julai ini, polis telah mengambil keterangan suspek dan buat siasatan latar belakangnya sebelum bertindak menahannya pada hari ini (semalam).
“Polis juga ada menerima satu laporan berkenaan seorang murid perempuan yang dipercayai dicabul oleh suspek di Kajang pada tahun 2011 dan disiasat mengikut Seksyen 345 Kanun Keseksaan kerana mencabul.
“Tiada tindakan lanjut diambil kerana pengadu telah menarik semula laporan tersebut,” ujarnya.
Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Ampang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSKK) 2017.
Dalam kejadian pada Mei lalu yang tular di laman media sosial Facebook semalam menyatakan mangsa yang berusia 10 tahun dikatakan telah diajak oleh guru tersebut ke dalam sebuah bilik di sekolah itu dengan alasan membantu merekodkan markah.
Namun, ketika di dalam bilik itu, guru tersebut menarik tangan mangsa secara kasar dan memaksanya duduk di atas pahanya serta memegang paha, dada dan kemaluan murid perempuan itu.
Ketika kejadian, terdapat tiga murid lain yang berada di dalam bilik itu yang turut menyaksikan kejadian berkenaan.
Ibu mangsa telah membuat laporan polis pada Jun lalu tentang kejadian tersebut setelah dimaklumkan oleh anaknya.
Difahamkan beberapa murid lain di sekolah terbabit telah tampil dan memberitahu mereka turut menjadi mangsa cabul kepada guru berkenaan. – K! ONLINE










