KUALA LUMPUR 9 Julai – Kementerian Wilayah memberi jaminan semua keputusan dan gerak kerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menepati prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan tiada lagi pelaksanaan melalui istilah ‘terima wahyu’.
Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, untuk memastikan tahap perkhidmatan dapat dipertingkatkan, DBKL perlu menjadi badan yang lebih profesional tanpa perlu terlibat atau patuh kepada arahan yang tidak sepatutnya.
Beliau berkata, sikap profesional itu penting untuk mengelak DBKL terpalit dengan isu-isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang merugikan rakyat.
“DBKL perlu bekerja keras membersihkan nama sekali gus berusaha menukar persepsi masyarakat terhadap pihak berkuasa tempatan itu (PBT). Selepas ini tiada lagi zaman ‘terima wahyu’, supaya mereka dapat laksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
“Semua urusan perlu dilakukan secara profesional dan saya juga beri jaminan tidak akan mengeluarkan arahan yang bercanggah dengan SOP DBKL,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi pertama ke DBKL di Menara DBKL 1 Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md.Salleh, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.
Khalid yang dalam lawatan rasmi pertama selepas dilantik memegang potfolio kementerian berkenaan sejak 2 Julai lalu tiba pada pukul 12 tengah hari.
Ketibaan disambut Mhd. Amin Nordin bersama barisan pengurusan tertinggi DBKL.
Dalam kunjungan itu, beliau dibawa melawat bahagian pengurusan dan operasi DBKL serta menghadiri sesi taklimat bersama warga DBKL untuk mendapat gambaran penuh gerak kerja pihak berkuasa tempatan itu.











