Fitri Haris pilih dunia pendidik - Utusan Malaysia

Fitri Haris pilih dunia pendidik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMENANGAN di pentas Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2) tempoh

hari membuka lembaran baharu buat kerjaya penyanyi ini. Jika sebelum ini fokus yang diberikan dalam bidang nyanyian tidak begitu menonjol namun nama Fitri Haris kini kembali melonjak.

Ternyata perjuangan sebagai penyanyi solo yang berlangsung hampir 10 tahun ini kembali menampakkan hasil buat dirinya yang selama ini tidak pernah berputus asa dengan seni walaupun sudah bergelar seorang pensyarah.

Berkongsi perkembangan terkini, Fitri akui, yang dilaluinya dalam tempoh kurang tiga bulan ini sedikit sebanyak membuatkan dia mengalami kejutan budaya.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini memang banyak yang berbeza… saya alami kejutan budaya. Bayangkan bulan puasa lalu saya hanya sempat berbuka puasa dengan keluarga dua kali sahaja.

“Walaupun saya akui lebih sibuk kini dan tidak berpeluang meluangkan masa seperti dahulu tetapi saya anggap ini adalah tanggungjawab yang saya perlu pikul,” katanya ketika ditemui pada ada majlis pelancaran lagu Hanya Tuhan Yang Tahu 2018 dan pelantikan sebagai duta Haqqi di Butik Haqqi Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Berkongsi antara dugaan selepas bergelar juara, Fitri atau Mohd. Fitri Mohd. Haris, 34, mengakui, ada yang cuba mengambil kesempatan selain menuduhnya berlagak sombong.

“Memang ada yang kononnya mengenali saya dan berkata saya pernah berjanji mahu membawanya ke Mekah. Selain beberapa gangguan lain tetapi saya mengambil keputusan untuk tidak melayannya.

“Apabila semakin sibuk saya akui masa itu tidak lagi banyak yang boleh saya habiskan dengan peminat yang sebelum ini banyak menyokong saya.

“Sebab itu ada yang terasa hati dan meninggalkan kumpulan perbualan kami di telefon. Sejujurnya tidak ada yang boleh saya buat kerana saya tahu bukan mudah untuk membuatkan orang faham dengan keadaan saya,” katanya.

Rezeki semakin menyerlah

Mengakui rezeki dalam bidang nyanyian lebih menyerlah kini, Fitri bagaimanapun tidak pernah melihat keperluannya untuk meninggalkan dunia pendidikan malah sehingga hari ini dia masih meletakkan kerjaya pensyarah sebagai pilihan nombor satu.

“Saya masih lagi menjadi pensyarah di UUM (Universiti Utara Malaysia) malah kerjaya ini juga sudah saya galas sejak empat tahun lalu. Sebagai pencinta ilmu saya tidak melihat perlu untuk saya meninggalkan kerjaya sebagai pendidik.

“Malah yang lebih menarik apabila dunia seni saya juga bersesuaian dengan ilmu yang saya kongsi dengan pelajar saya di Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan UUM.

“Maknanya pihak universiti sendiri tidak melihat pilihan saya untuk berada dalam bidang nyanyian ini sebagai sesuatu yang salah sebab pada akhirnya saya akan berkongsi perkara itu dengan pelajar.

“Cuma syaratnya saya perlu melaporkan bagaimana aktiviti seni ini bermanfaat dalam bidang pembelajaran pula,” katanya.

Selain tawaran dalam bidang nyanyian, Fitri turut mengakui, dia kini sudah bersedia untuk kembali dalam bidang lakonan. Malah jelasnya ketika ini juga dia sedang meneliti beberapa tawaran.

“Ada menerima tawaran bagaimanapun saya terpaksa menolak memandangkan watak yang diberikan tidak mampu saya bawa. Watak yang memerlukan saya menyentuh dan mengangkat seorang wanita sangat jelas tidak bersesuaian dengan imej saya.

“Bagaimanapun saya cukup terbuka dalam menerima tawaran lain memandangkan saya melihat dunia lakonan sebagai tempat untuk saya menimba ilmu,” tambahnya.

Hanya Tuhan Yang Tahu 2018

Memilih untuk merakamkan kembali lagu Hanya Tuhan Yang Tahu yang sebelum ini pernah popular ketika masih bersama-sama kumpulan UNIC, kata Fitri, ini adalah salah satu strategi untuk dia kembali dalam dunia nyanyian.

“Apabila saya buat keputusan untuk kembali dalam bidang nyanyian saya perlu ada lagu yang akan mendekatkan saya dengan peminat. Jadi saya pilih lagu ini dan berikan nafas baharu.

“Bukanlah bergantung kepada lagu itu semata-mata tetapi lebih kepada strategi. Sebab selepas ini setiap tiga bulan saya akan keluarkan single baharu,” kongsinya.

Sementara itu Fitri kini juga dipilih menjadi duta kepada jenama pakaian Haqqi. Mempunyai beberapa cawangan di seluruh negara, jelas Fitri, dia turut merancang beberapa acara seni dengan jenama ini.

Selain itu dia juga mengeluarkan rekaan pakaian di bawah jenama tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN