KUALA LUMPUR 28 Julai – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengarahkan enam pasukan di bawah naungannya membayar gaji serta pampasan melibatkan lebih RM2 juta kepada tujuh staf kejurulatihan dan 11 pemain masing-masing dalam tempoh 30 hari mulai hari ini.
Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat khas kali kedua bagi penggal 2017-2021 pada 25 Julai 2018 memutuskan jika kesemua pasukan itu gagal membayar tuntutan tersebut, kes berkenaan akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.
Enam pasukan tersebut adalah Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Petaling Jaya Rangers FC (PJ Rangers), Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (ATM FA), Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Terengganu City FC (TCFC) dan Persatuan Bola Sepak Daerah Kuantan (Kuantan FA).
Kuantan muncul pasukan paling banyak ‘berhutang’ melibatkan bayaran RM741,000 termasuk tunggakan gaji seorang pemain Abdul Malik Mat Ariff sebanyak RM70,000, selain lima pegawai kejurulatihan.
“Tuntutan juga dikemukakan oleh lima pegawai kejurulatihan terhadap Kuantan FA berhubung gaji dan/atau pampasan kontrak melibatkan Ismail Zakaria (RM100,000 gaji, RM200,000 pampasan kontrak); Mohd. Shukri Ismail (RM96,000 gaji); Rusdi Suparman (RM60,000 gaji); Mohd. Faris Ismail (RM24,000 gaji, RM48,000 pampasan kontrak); serta Azlisham Ib Berahim (RM52,000 gaji, RM91,000 pampasan kontrak),” menurut FAM dalam kenyataannya di sini hari ini.
ATM pula muncul pasukan kedua paling banyak berhutang apabila penyerangnya Abdulafees Abdulsalam dari Nigeria menuntut tunggakan gaji sebanyak AS$180,000 (RM731,000).
Ini diikuti Pulau Pinang melibatkan tunggakan gaji RM377,000 kepada lapan pemainnya iaitu Mafry Balang sebanyak RM76,000; Muhamad Faizat Mohamad Ghazli (RM48,000); Sani Anuar Kamsani (RM80,000); Muhammad Rafiuddin Roddin (RM60,000); K. Reuben Thayaparan (RM40,000); Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (RM28,000); Shazalee Ramlee (RM25,000) dan Syed Adney Syed Hussein (RM20,000).
Bekas jurulatih kebangsaan, Mat Zan Mat Aris pula menuntut pampasan baki kontrak selaku pengendali PJ Rangers sebanyak RM330,000.
Selain itu, TCFC juga diarahkan membayar tunggakan gaji RM60,000 dan pampasan baki kontrak sebanyak RM120,000 kepada jurulatih Roshadi Wahab.
Tuntutan juga dibuat pemain Mohd. Noor Hazrul Mohd. Mustafa terhadap KAFA berhubung tunggakan gaji berjumlah RM55,000.










