Fahami cara pemikiran masyarakat Sabah dan Sarawak - Utusan Malaysia

Fahami cara pemikiran masyarakat Sabah dan Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH tinggal di Tanah Melayu (istilah Semenanjung Malaysia tiada dalam Perlembagaan) selama hampir empat tahun, saya belajar sedikit sebanyak budaya dan falsafah politik Melayu.

Disebabkan saya lahir dan membesar di Sabah, tidak dapat dinafikan terdapat perbezaan budaya, nilai dan corak pemikiran politik.

Corak pemikiran politik antara Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak perlu difahami agar semua pihak tahu batas penduduk setempat seterusnya bersatu padu di bawah satu negara.

Antara isu yang sukar difahami oleh kebanyakan orang bukan Melayu termasuk penduduk Sabah dan Sarawak ialah pemisahan agama dan politik ataupun sekularisme.

Masyarakat di Sabah dan Sarawak lebih liberal dan terbuka berbanding di Tanah Melayu, maka konsep sekularisme tidak menjadi masalah di sana.

Berbeza di Tanah Melayu, masyarakatnya lebih konservatif dan penghayatan terhadap agama Islam lebih kuat maka konsep sekularisme amat sukar diterima.

Bagi orang Melayu beragama Islam, politik dan agama tidak dapat dipisahkan kerana politik tanpa nilai dan pelaksanaan Islam dianggap ‘kemungkaran’.

Maka, tidak hairanlah isu agama menjadi topik besar setiap kali pilihan raya diadakan di Tanah Melayu dan pada bila-bila masa jua kerana ia satu topik yang penting bagi orang Melayu.

Bagi mereka yang bukan berbangsa Melayu seperti saya, usahlah dipertikai jika orang Melayu sangat sensitif terhadap agama dan bangsa di Tanah Melayu kerana sudah tertanam dalam jiwa mereka semangat cintakan agama Islam yang tinggi.

Namun, orang Melayu perlu faham bahawa masyarakat bumiputera di Sabah dan Sarawak juga mempunyai nilai berbeza malah lebih terbuka, dan keterbukaan itu dianggap suatu benda yang positif.

Tiada isu penggunaan kalimah Allah bagi penganut Kristian, tidak berbangkit kitab Injil bahasa Melayu dan sebagainya sekalipun di Tanah Melayu dianggap sensitif. Janganlah kita menghentam orang lain kerana terdapat perbezaan budaya, nilai dan corak pemikiran.

Kesimpulannya, seandainya pemimpin politik faham dan tahu batas serta mendidik pengikut mereka dalam isu-isu sensitif dan status quo seperti Ketuanan Melayu di Tanah Melayu dan autonomi di Sabah dan Sarawak, sudah pasti perpaduan antara kaum dan wilayah dapat diperkukuhkan.

Pemimpin politik jangan cuba melanggar status quo sama ada yang bertulis ataupun tersirat di Malaysia seperti isu agama dan bangsa tidak kira di Tanah Melayu, mahupun autonomi di Sabah dan Sarawak. Jika ini difahami, perpaduan antara rakyat dapat diperkasakan lagi dengan lebih mantap kelak.

IKRAM YUSOF

Universiti Tun Abdul Razak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN