JOHOR BAHRU – Dua beradik yang menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan lalu bersama ibunya melalui detik ngeri apabila disyaki didera teman lelaki wanita itu.
Kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia enam dan tiga tahun dikatakan mengalami kecederaan selain terdapat kesan luka dan lebam pada seluruh badan dipercayai dipukul teman lelaki ibunya semasa tinggal di rumah wanita itu di Perak.
Penderitaan dua beradik malang itu disedari bapa mereka, Mohd. Fairuz Baharin Mohd. Noor, 33, selepas melihat kesan luka pada bibir anak sulungnya itu sejurus diserahkan ibu kandung kanak-kanak terbabit pada Khamis lalu.
“Anak sulung saya diambil dan dibawa lari ibunya pada hari raya lalu dipercayai dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak bersama teman lelakinya berusia 28 tahun.
“Anak saya mengadu dia disepak, ditendang dan dipukul dengan menggunakan kayu tanpa belas kasihan gara-gara sering menangis mahu pulang ke pangkuan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.











