KUALA LUMPUR 5 Julai – Jumlah dagangan Malaysia bagi tempoh Januari sehingga Mei 2018 meningkat sebanyak 4.2 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM753.46 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas.
Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), eksport meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM403.99 bilion manakala import berkembang 1.3 peratus kepada RM349.48 bilion.
Katanya, lebihan dagangan turut melonjak 64.9 peratus tahun ke tahun kepada RM54.51 bilion.
“Pada Mei 2018, perdagangan Malaysia berkembang sebanyak 1.8 peratus kepada RM156.1 bilion berikutan peningkatan dagangan dengan China, Taiwan, Hong Kong, Korea Selatan, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Arab Saudi.
“Jumlah eksport pada Mei lepas mencecah RM82.11 bilion atau bersamaan peningkatan sebanyak 3.4 peratus bagi tahun ke tahun manakala import menokok 0.1 peratus kepada RM73.99 bilion,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada bulan sama, lebihan dagangan mencecah RM8.12 bilion iaitu meningkat 47.1 peratus tahun ke tahun, sekali gus menjadikannya bulan ke-247 berturut-turut merekodkan lebihan dagangan sejak November 1997.
Matrade berkata, pertumbuhan eksport juga terus mengatasi import untuk lima bulan berturut-turut sejak Januari 2018.
“Bagi asas bulan ke bulan, import dan jumlah dagangan berkembang sebanyak 3.9 peratus dan 0.4 peratus manakala eksport dan lebihan dagangan masing-masing berkurangan sebanyak 2.5 peratus dan 37.7 peratus.
“Selain itu, prestasi sektor utama sepanjang lima bulan pertama 2018 menyaksikan eksport barangan pembuatan berkembang 8.8 peratus kepada RM335.71 bilion berbanding tempoh sama 2017, kebanyakannya didorong oleh peningkatan eksport produk elektrikal dan elektronik (E&E), pembuatan logam, produk kimia dan bahan kimia, peralatan pengangkutan serta peralatan optikal dan saintifik,” katanya.
Selain itu, Malaysia turut mencatat prestasi dagangan lebih kukuh dengan ASEAN bagi tempoh lima bulan pertama 2018 yang berkembang sebanyak 3.2 peratus kepada RM204.23 bilion berbanding tempoh sama pada 2017.
Dagangan dengan China turut berkembang sebanyak 5.0 peratus kepada RM122.35 bilion berbanding tempoh sama sebelum ini.
Bagaimanapun, dagangan dengan Amerika Syarikat (AS) susut sebanyak 9.1 peratus kepada RM62.02 bilion manakala dagangan dengan Jepun turut berkurangan 3.6 peratus kepada RM55.51 bilion. – UTUSAN ONLINE










