PASIR PUTEH 22 Julai – Polis menahan empat individu termasuk dua wanita bersama sejumlah dadah dalam operasi berasingan di Kampung Dalam Kemunting dan Kampung Alor Pasir, dekat sini, kelmarin.
Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 12 tengah hari, pihak polis menahan dua lelaki berusia 17 dan 35 tahun di sebuah ruamh di Kampung Alor Pasir.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, ketika ditahan kedua-dua suspek memiliki 197 biji pil berwarna kemerahan dan dua biji pil berwarna hijau disyaki pil kuda.
“Hasil ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 39A1 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabag Polis Daerah Pasir Puteh di sini hari ini.
Sementara itu, pada pukul 1.30 petang, pihak polis menahan dua wanita selepas menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Jalan Kemunting.
Abdul Rozak memberitahu, ketika serbuan dilakukan penghuni rumah tersebut enggan membuka pintu selepas anggotanya memperkenalkan diri.
“Pintu rumah yang berkunci dari dalam terpaksa dipecahkan dan kita mendapati seorang wanita berusia 36 tahun bersama seorang wanita warga Thailand berumur 33 tahun cuba melarikan diri ke arah pintu dapur rumah berkenaan.
“Pemeriksaan dilakukan telah menemukan empat botol cerah bertudung kuning berisi serbuk putih disyaki dadah seberat 18 gram,” katanya.
Katanya, pihak polis turut menemukan bungkusan plastik mengandungi disyaki 32 biji pil disyaki pil kuda seberat 3.2gram; lima plastik cerah berisi ketulan kristal (1.8 gram); dua tiub straw cerah berwarna kuning berisi serbuk putih (0.8 gram) dan satu foil aluminium berisi sebiji pil disyaki dadah seberat 0.3gram.
Tambahnya, kedua-dua suspek memiliki beberapa rekod lampau kesalahan dadah itu turut positif dadah opiate selepas ujian air kencing dijalankan.
Katannya, suspek terbabit kini ditahan reman dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akata Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Turut dirampas ialah wang tunai sebanyak RM1,400 dipercayai hasil urus niaga dadah yang diperolehi bekalannya dari Rantau Panjang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










