Cuepacs perlu bantu tingkatkan produktiviti penjawat awam - Utusan Malaysia

Cuepacs perlu bantu tingkatkan produktiviti penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Julai – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan produktiviti serta kecekapan penjawat awam di samping berjuang menjaga kepentingan mereka.

Semasa mengulas cadangan Cuepacs supaya  penjawat awam menyumbang RM10 seorang secara sukarela kepada Tabung Harapan Malaysia (THM), penganalisis pentadbiran negara Prof. Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, kongres itu sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha melonjakkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan  awam berbanding menggalakkan mereka menyumbang kepada tabung itu.

“Ini kerana kesan sumbangan atau derma kepada tabung berkenaan hanya bersifat sementara (bagi menyelesaikan beban hutang negara) berbanding usaha meningkatkan kualiti dan prestasi kerja yang akan memberi manfaat jangka masa panjang kepada kerajaan dan negara.

“Kita mahu produktiviti penjawat awam meningkat. Itu yang harus diperjuangkan dahulu.

“Antara  faktor penyebab kerajaan sebelum ini tidak berfungsi dengan efisien mungkin kerana prestasi penjawat awam tidak seperti yang diharapkan,” kata Ahmad Bashawir yang juga Penolong Naib Canselor di Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti  Utara Malaysia.

Setiap tahun, sejumlah besar peruntukan disediakan oleh kementerian-kementerian tetapi produktivitinya masih belum mencapai tahap membanggakan jika dibandingkan  dengan negara maju lain termasuk Singapura, katanya kepada Bernama.

Kuala Lumpur 08 Nov 2016...Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda pada
Datuk Azih Muda

Sebelum ini, Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata, cadangan mengenai sumbangan sukarela kepada THM itu dibuat pada mesyuarat Cuepacs pada 26 Jun lepas.

Beliau berkata, kongres  itu menyasarkan sumbangan sebanyak RM10 juga kepada THM memandangkan terdapat 1.6 juta orang penjawat awam di negara ini. Beliau menyarankan sumbangan ditu dibuat menerusi potongan gaji pada Ogos ini.

THM, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 30 Mei lepas, terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang mahu turut membantu dengan menyalur dana.

Banyak syarikat dan ramai individu persendirian tampil menghulur sumbangan kepada tabung itu kerana  mahu membantu kerajaan meringankan beban hutang negara.

Ahmad  Bashawir berkata, soal membantu kerajaan tidak sewajarnya dihadkan kepada THM sebaliknya diperluaskan dalam pelbagai aspek yang boleh dibantu oleh sektor awam.

Selain meningkatkan produktiviti dan kecekapan, isu kerenah birokrasi, rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam adalah antara yang perlu diberi perhatian.

“Bukannya  tidak elok menyumbang kepada tabung (THM) itu, tetapi kita mahu (Cuepacs melakukan) lebih banyak lagi memandangkan kita mahu kerajaan hari ini menjadi kerajaan yang lebih berdaya saing dan lebih baik daripada yang sebelum ini.

“Kongres itu sepatutnya memikirkan bagaimana penjawat awam boleh membantu menyampaikan manifesto Pakatan Harapan (PH) berbanding perkara seperti menyumbang RM10 kepada tabung itu,” katanya.-BERNAMA  

Presiden  Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd Isa pula berkata, Cuepacs perlu melihat kembali kepada misi penubuhan kongres kesatuan itu yang sepatutnya memperjuangkan kepentingan anggota sektor awam.

Isu yang perlu diberi tumpuan termasuk kebajikan penjawat awam seperti kenaikan gaji atau pemberian bonus ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang tinggi.

“Janganlah bertindak berdasarkan politik atau kepentingan peribadi. Kos sara hidup kian meningkat jadi Cuepacs perlu lebih fokus dalam membela kebajikan penjawat awam di negara ini.

“Sebelum ini pun semasa di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), Cuepacs lantang bersuara mengenai hak kakitangan awam jadi sekarang (di bawah PH) kenapa tidak diteruskan peranan itu? ” katanya.

Pada  masa sama, katanya penjawat  awam  perlu menunjukkan rasa cinta kepada negara dengan menjadi lebih berdisiplin dan melaksanakan amanah serta tugas yang diberi dengan penuh tanggungjawab.

“Berikan perkhidmatan terbaik. Itu jauh lebih bermanfaat dalam usaha membantu kerajaan membangunkan negara,” katanya.

Penjawat  awam Nurhayati Zainuddin, 39, berkata derma untuk THM seharusnya dibuat secara ikhlas dan saranan Cuepacs mungkin boleh menimbulkan salah faham kepada banyak pihak.

“Meskipun Cuepacs menyatakan bahawa tiada tekanan atau paksaan kepada penjawat awam untuk berbuat demikian, namun apabila mahu melibatkan seluruh penjawat awam pasti akan ada yang ‘sensitif’ lebih-lebih lagi bila menyentuh soal pemotongan gaji pada Ogos ini, ” katanya.

Beliau menegaskan THM tidak seharusnya menjadi alat untuk mana-mana pihak ‘menangguk di air yang keruh’ dengan menjadikannya sebagai ‘kayu ukur’ dalam mempamer sokongan kepada kerajaan PH.

Setakat 3 petang 8 Julai, THM telah mengumpulkan sebanyak RM142,666,608.50. -BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN