KOTA BHARU 22 Julai – Tiga pelajar lelaki tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penambang dibebaskan selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan polis untuk melanjutkan tahanan reman yang berakhir semalam.
Ketiga-tiga remaja berusia 15 tahun itu direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling bom tangan buatan sendiri ke dalam bilik disiplin, kaunseling dan dewan sekolah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik ketika dihubungi menjelaskan permohonan reman ditolak pihak mahkamah disebabkan faktor usia suspek yang masih muda selain masih bersekolah.
Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan.
Akhbar sebelum ini melaporkan tiga pelajar lelaki SMK Penambang di sini dipercayai telah menggunakan bahan letupan yang diperbuat daripada belerang dan karbaid untuk menghasilkan bom buatan sendiri.
Belerang yang digunakan itu dihasilkan daripada 80 biji mercun bola sebelum dilempar ke arah bangunan sekolah. – UTUSAN ONLINE










