KUALA LUMPUR 9 Julai -–Kerajaan Pakatan Harapan akan memansuhkan Biro Tata Negara (BTN) tidak lama lagi.
![]() |
|
SYED SADDIQ ABDUL RAHMAN
|
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman berkata, perkara itu masih dalam proses perbincangan dan pengumuman mengenai pemansuhan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
“Saya mahu memperbetulkan kenyataan beberapa media sebelum ini bahawa BTN tidak akan dimansuhkan.
“BTN akan dimansuhkan, pengumuman tersebut akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya dalam Forum Perubahan Keadaan Landskap Politik dan Aspirasi Golongan Muda di Sunway University, di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan memansuhkan BTN yang dikemukakan beberapa pihak.
Kata beliau, ini kerana kerajaan mendapati BTN dan beberapa organisasi lain ditubuhkan untuk kepentingan Barisan Nasional (BN).
Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, Syed Saddiq berkata, kerajaan komited untuk melaksanakan perkara itu dalam penggal ini.
“Apa yang saya boleh katakan adalah, cadangan tersebut akan dilaksanakan dalam penggal ini.
“Saya tidak pasti sesi Parlimen yang mana kerana ia memerlukan perbincangan kepemimpinan tertinggi Pakatan Harapan, namun ia dilaksanakan dalam penggal ini.
“Dr. Mahathir komited untuk melaksanakan cadangan tersebut malah beliau turut menyatakan sokongannya,” katanya
Syed Saddiq berkata, selepas kerajaan membuat pengumuman membenarkan individu berumur 18 tahun untuk mengundi, insentif besar bakal diberikan kepada parti politik bagi mewujudkan kesedaran kepada golongan tersebut.












