KOTA BHARU 8 Julai – Pihak berwajib perlu mengambil tindakan ke atas golongan lelaki berperwatakan wanita termasuk ‘pondan kaya’ yang dilihat semakin berani menunjukkan aksi melanggar hukum agama secara terbuka terutama di media sosial.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad berkata, peruntukan undang-undang yang ada harus dimanfaatkan sepenuhnya dan golongan tersebut tidak sewajarnya dibiarkan.
Beliau berkata, tindakan mesti diambil sebaik mungkin oleh pihak berwajib walaupun golongan itu mungkin hanya minoriti.
“Kita ada undang-undang, peraturan kalau apa dia lakukan melanggar peraturan fatwa yang ada tidak patutlah dibiarkan.
“Selain teguran dan nasihat kalau sudah sampai tahap mereka berdegil, maka pergunakanlah undang-undang yang ada.
“Sama ada masuk atau tidak dalam (definisi) LGBT dengan sesetengahnya masih dipertikai jantina, tetapi yang salah tetap salah, aurat tetap aurat, lelaki pun pun ada aurat yang perlu ditutup,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hari Terbuka NGO Islam dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di Hotel Crown Garden di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan sesetengah lelaki berperwatakan wanita yang semakin berani menonjolkan sisi kehidupan mereka dalam media sosial. – UTUSAN ONLINE











