KANGAR 5 Julai – Dua belia asnaf yang mengikuti Program Kerjasama Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (ATAM), bersyukur kerana telah berjaya memperoleh pekerjaan dengan pendapatan lumayan.
![]() |
|
MOHD. NAIM ANUAR
|
Belia itu, Mohd. Naim Anuar, 25, berkata, pada mulanya dia tidak mempunyai pekerjaan selepas setahun menamatkan pengajian diploma mekatronik di sebuah institusi di Pulau Pinang.
Katanya, dia kemudian melihat satu tawaran program untuk meningkatkan kemahiran oleh MAIPs kepada anak-anak keluarga asnaf secara ditanggung sepenuhnya, sebelum memohon untuk mengikutinya.
“Saya lalu mengikuti pengajian selama tiga bulan dalam bidang minyak dan gas iaitu ujian tanpa musnah (NDT) dengan syarikat Imbasan Nilai Sdn. Bhd. di Kemaman, Terengganu.
“Sebaik sahaja tamat, saya terus ditawarkan pekerjaan di Rapid Pengerang, Johor dengan gaji sebanyak RM4,000 sebulan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
![]() |
|
HASRUL HAIRI MOHD. NOR
|
Rakannya, Hasrul Hairi Mohd. Nor, 29, berkata, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum mendapat tahu tentang program yang dilaksanakan oleh MAIPs itu dan telah memohonnya.
Katanya, dia kemudian menyambung pengajian di syarikat sama dengan Mohd. Naim bersama lapan rakan yang lain dari Perlis.
“Seterusnya saya ditawarkan pekerjaan juga di Pengerang tetapi syarikat yang berlainan (Mohd. Naim).
“Semasa belajar, semua keperluan makan minum dan tempat tinggal disediakan sehinggalah saya menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.













