Bekas pegawai khas Rosmah direman bantu siasatan projek solar Sarawak - Utusan Malaysia

Bekas pegawai khas Rosmah direman bantu siasatan projek solar Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seorang bekas pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor ditahan reman sejak Selasa lalu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung projek solar sekolah di Sarawak.

Menurut sumber, lelaki ber­usia 44 tahun itu telah dipanggil untuk memberi keterangan pada Isnin lalu sebelum ditahan dan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.

“Dia disiasat kerana dipercayai mendapatkan wang jutaan ringgit dari syarikat yang berpangkalan di Bintulu yang dianugerah­kan untuk memasang panel tenaga solar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Majistret Shah Wira Abdul Halim pada Selasa membenarkan pihak SPRM untuk menahan reman lelaki tersebut selama empat hari sehingga hari ini.

Difahamkan, pihak SPRM di­jangka membuat permohonan untuk melanjutkan tempoh reman.

Sebelum ini SPRM sudah menahan seramai tiga individu termasuk seorang pengarah syarikat bagi membantu siasatan berkaitan projek berkenaan.

Difahamkan, projek tersebut membabitkan pembekalan dan pemasangan panel tenaga solar kepada 369 buah sekolah di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

Skandal tersebut mencetus kontroversi apabila laporan sebuah portal be­rita, Sarawak Report, melaporkan pada Ja­nuari 2017, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan projek tersebut kepada sebuah syarikat penyewaan ken­deraan yang beroperasi di Bintulu, Sarawak, yang dikenali sebagai Jepak Holdings Sdn. Bhd.

Portal tersebut telah menyiar­kan beberapa surat yang ditanda­tangani oleh Najib me­ngarahkan Kementerian Pendidikan untuk menganugerah­kan projek dan membuat pembayaran terus kepada syarikat tersebut walaupun terma dalam kontrak tidak berjaya dipenuhi oleh syarikat terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN