Bas ekspres bawa 12 penumpang terbakar - Utusan Malaysia

Bas ekspres bawa 12 penumpang terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 22 Julai – Seramai 12 penumpang berdepan saat mencemaskan apabila bas persiaran yang dinaiki terbakar di hadapan kilang Sharp, Bakar Arang di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 5.07 petang itu, bas ekspres berkenaan dalam perjalanan ke Alor Setar singgah bagi menurunkan penumpang di Sungai Petani, Kedah dari Kuala Lumpur.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, sepasukan anggota bomba diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Hafizul Ishak digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 5.08 petang.

“Pasukan penyelamat yang tiba lima minit kemudian mengambil masa kira-kira enam minit bagi mengawal kebakaran dan operasi ditamatkan kira-kira pukul 5.41 petang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kebakaran yang berlaku di bahagian tempat duduk belakang bas telah menyebabkan bas tersebut mengalami kemusnahan hampir 40 peratus.

“Semua penumpang termasuk pemandu dan kelindan tidak mengalami kecederaan apabila sempat turun dengan selamat sebelum api merebak dan dipindahkan ke bas lain,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN