SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin menyatakan sokongan penuh kepada usaha golongan pendakwah bersepakat dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap seorang pengusaha produk kecantikan yang juga golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Bukannya mahu menindas manusia ‘dua alam’ sebaliknya menyekat perbuatan mungkar yang berselindung di sebalik agama apatah lagi meraikan anak yatim dan pelajar tahfiz. Tiada niat menghukum sebaliknya mengajar agar rezeki diberikan Allah jangan sesuka hati digunakan untuk mempromosikan maksiat dan mempersendakan agama sekalipun keluarga dan ibu bapa ‘menerima’ gaya hidup mereka.
Jika golongan LGBT yang ‘mengaku Islam’ mahu terus ingkar atau tidak memperakui hukum Allah, gunakan hukum manusia yang mereka puja-puja bagi menghalang penghinaan yang sama berulang.
Sekat semua aktiviti di mana seorang lelaki memakai pakaian wanita atau sebaliknya bagi mempromosikan produk atau perkhidmatan di bawah peruntukan undang-undang pengguna kerana membuat ‘pengiklanan palsu’ (jantina tidak tulen).
Seperti diketahui umum, pengusaha kosmetik LGBT banyak menggunakan gambar mereka berpakaian wanita untuk menjual produk alat solek dan ‘makanan kesihatan’ kepada golongan wanita.
Dari segi undang-undang pengguna, tindakan itu jelas satu penipuan jantina pengguna (model) dan promosi melampau bagi menunjukkan produk jualan mereka memberi kesan pada satu tahap tidak munasabah.
Pada masa sama, saya menyeru agar semua sekolah tahfiz mengajak setiap warganya mendoakan golongan LGBT dimasukkan iman, khususnya dalam kalangan mereka yang memperjuangkan gaya hidup songsang ini dalam kerajaan.
Semoga anak cucu kita dilindungi daripada kemungkaran melampau ini, demi agama, bangsa dan negara Malaysia tercinta.
IMAM SURAU
Kuala Lumpur










