KUALA LUMPUR – Mereka yang terpilih sebagai Ahli Parlimen tetapi tidak menghadiri majlis angkat sumpah Isnin lepas berdepan kemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong hari ini.
“Ahli Parlimen yang tidak mengangkat sumpah pada hari Isnin boleh dibatalkan kelayakan dalam tempoh enam bulan mulai 16 Julai jika terus gagal berbuat demikian seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu bagi memperjelaskan tentang Ahli Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa yang gagal hadir di Dewan Rakyat pada hari Isnin.
Bagaimanapun, bagi Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Vui Keong berkata, beliau telah menerima notis yang menyatakan Muhyiddin kini dalam cuti sakit selama sebulan dan Dewan akan mengaturkan majlis lain selepas ini untuk beliau mengangkat sumpah.
“Bagi Ahli Parlimen Sipitang, kami tidak menerima apa-apa pemberitahuan melalui surat tentang sebab beliau tidak dapat hadir pada hari Isnin untuk mengangkat sumpah,” katanya.
Isnin lepas, seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen mengangkat sumpah jawatan mereka di Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14.
Dua Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Muhyiddin dan Yamani Hafez. – Bernama










