SEREMBAN 9 Julai – Sebanyak 711 kematian akibat kemalangan di tempat kerja direkodkan di negara ini sepanjang tahun lalu.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Ir. Omar Mat Piah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 187 kematian berlaku di tapak pembinaan.
Katanya, dua punca utama yang menyebabkan kematian itu ialah pekerja ditimpa objek yang jatuh dan terjatuh ketika mengendalikan jentera.
“Sehubungan itu, JKKP ingin menyarankan agar semua pihak industri mengamalkan keselamatan yang baik di tempat kerja bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Cegah Jatuh JKKP Bilangan 2/2018 di Projek Cadangan Pembangunan Pangsapuri PR1MA di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar. – UTUSAN ONLINE










