KUALA LUMPUR – Seramai 68 individu yang leka berpesta di dua kondo mewah di ibu kota ditahan dalam dua serbuan berasingan pada 3 dan 6 Julai lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, dalam serbuan pertama di Kondominium Jalan Ceylon, Jalan Pahang di sini, polis menahan 15 individu yang terdiri daripada lima lelaki tempatan, empat lelaki Thailand, dua wanita Indonesia dan empat wanita tempatan.
“Ketika ditahan, kesemua suspek berada dalam keadaan khayal dan kesemuanya positif pelbagai jenis dadah.
“Kesemua suspek berusia antara 19 hingga 44 tahun yang juga merupakan penganjur pesta tersebut, Polis turut merampas 4,000 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5, 19 biji pil ekstasi dan dadah jenis ketamin seberat 2.67 gram,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Kesemua rampasan bagi serbuan pertama itu dianggarkan bernilai RM60,000.
Mazlan menambah, serbuan kedua diadakan di Kondominium Damai Residences, Jalan Ampang di sini pada 6 Julai lalu dan menahan 53 individu yang sedang leka berpesta liar di kondo tersebut.
“Kondo yang mempunyai tiga bilik itu membolehkan mereka mengambil dadah, minum arak dan juga melakukan hubungan seks bebas.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 14 hingga 27 tahun termasuk seorang remaja wanita Indonesia,” ujarnya.
Kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bermula 6 Julai lalu hingga semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE










