KANGAR – Kesungguhan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerusi program kayuhan basikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli sewajarnya dipuji demi membantu golongan asnaf yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs , Mohd. Nazim Mohd. Nor berkata, Tuanku Syed Faizuddin telah melaksanakan program inovatif itu dan masih berterusan sejak mula diperkenalkan pada 2013.
“Tuanku Syed Faizuddin telah terlibat sebanyak 444 kali program kayuhan basikal bersama MAIPs demi menjejaki dan menyantuni golongan asnaf.
“Seramai 5,640 penerima telah menerima bantuan sebanyak RM3,3840,000 setakat ini malah, program ini telah berkembang di luar negara seperti Aceh, Indonesia dan wilayah di Thailand seperti Krabi, Phuket, Phang Nga dan Trang.
“Program Kayuhan MAIPs Peduli ini turut melibatkan ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan sebagai medium interaksi secara langsung bersama golongan asnaf.
“Sebagai contoh, setiap kali kayuhan basikal, terdapat pegawai perubatan yang bertugas melakukan pemeriksaan terhadap asnaf, wakil Jabatan Pendidikan Perlis bagi memastikan tiada anak keluarga asnaf yang tidak bersekolah selain Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin merupakan Yang Dipertua MAIPs. – K! ONLINE









