KUALA LUMPUR 12 Jun – Sebanyak 5,000 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik di ibu kota sepanjang empat hari Op Selamat dijalankan sempena musim perayaan Aidilfitri.
Video oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, antara kesalahan saman itu termasuklah memandu laju dan melanggar lampu isyarat.
“Kadar kemalangan di ibu kota juga meningkat sebanyak 10 peratus daripada hari biasa yang mencatatkan sebanyak 150 hingga 200 kemalangan kecil setiap hari,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Op Bas di luar pekarangan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini hari ini.
Operasi yang memberi tumpuan kepada pemandu bas melibatkan kira-kira 50 anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, JSPT Kuala Lumpur, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Zulkefly menambah, seramai 199 anggota trafik termasuk 14 pegawai ditempatkan di 10 lokasi sepanjang Op Selamat dilaksanakan sehingga 22 Jun ini.
Antara 10 lokasi berkenaan ialah Jalan Kepong, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Lebuh Raya Seremban, Jalan Sentul, Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Jalan Connaught dan Jalan Sungai Besi.
Dalam pada itu Zulkefly berkata, Op Bas kali ini melibatkan dua lokasi iaitu TBS dan Jalan Duta serta dikhususkan kepada pemeriksaan bas dan lain-lain kenderaan.
“Sebanyak 37 saman dikeluarkan melibatkan semua jenis kenderaan dalam operasi yang bermula pukul 8 pagi sehingga tengah hari ini.
“Kita juga melakukan pemeriksaan air kencing terhadap pemandu tetapi semuanya mencatatkan keputusan negatif,” jelasnya.











