[VIDEO] 60 ekor Musang Pandan diselamatkan - Utusan Malaysia

[VIDEO] 60 ekor Musang Pandan diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 25 Jun – Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubur berjaya menyelamatkan 60 ekor Musang Pandan yang dipercayai akan diseludup keluar negara di Tok Bali dekat sini, semalam.

Pemangku Pegawai Memerintah Marlas Operasi Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubur, Inspektor Reduan Mohidin berkata, haiwan eksotik itu ditemukan dalam sangkar di kawasan semak berhampiran salah sebuah jeti pendaratan ikan di Tok Bali, dekat sini, pada pukul 5 petang semalam.

Menurutnya, ia termasuk sekor ibu musang bersama tiga anaknya yang masih kecil yang kesemuanya telah disangkarkan untuk diangkut ke bot nelayan asing yang menggunakan bot tempatan.

“Kesemua Musang Pandan itu bernilai RM12, 000 dirampas untuk diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kadar yang segera.

“Kejayaan mematahkan penyeludupan haiwan itu berjaya dilakukan lapan anggota polis marin yang sedang menjalankan Ops Gelora Siri 9/2018 dalam usaha mengekang kegiatan jenayah di persekitaran perairan Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di Markas Taktikal Polis Marin Wilayah Tiga Tok Bali, dekat sini, malam tadi.

Reduan berkata, tiada tangkapan dilakukan selepas mendapati tiada individu yang menghampiri lokasi Musang Pandan ditemui sepanjang pihak polis melakukan intipan susulan.

Katanya, kes ini diserahkan kepada Perhilitan yang disiasat di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972. – UTUSAN ONLINE

Video oleh TOREK SULONG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN