SAUDARA PENGARANG,
SELEPAS kekalahan UMNO pada PRU-14 lepas, pelbagai persepsi ditimbulkan oleh musuh UMNO.
Sudah semestinya persepsi yang negatif.
Maka ada segelintir orang UMNO sendiri mula melatah dengan ada yang merajuk dan menyalahkan pihak lain.
Ada juga yang keluar UMNO. Kepada mereka ini ingatlah bahawa rakyat terutamaa pengundi Melayu sedang perhatikan anda. Pada ketika ini baru kita kenal pejuang sebenar yang berada dalam UMNO.
Andaian mengatakan UMNO dibenci oleh orang Melayu adalah tidak betul.
Dari jumlah 12 juta pengundi, 7.8 juta adalah orang melayu. Dengan UMNO memperoleh 4.1 juta undi dan Pas 2.2 juta undi.
Sudah tiba masanya UMNO perlu berterus terang dengan MCA bahawa hampir kesemua ahli mereka mengundi PH. Tak perlu lagi berkias-kias. Terimalah hakikat orang Cina tidak akan mengundi UMNO dan Pas kecuali mereka terdesak suatu ketika nanti.
Peluang UMNO untuk kembali membentuk kerajaan masih ada dengan syarat mereka perlu berpakat dengan Pas. Ini kerana PH tidak mungkin dapat menjaga kepentingan orang Melayu sebagaimana UMNO dahulu.
Cuma halangannya adalah mentaliti cetek segelintir pemimpin Pas yang sanggup membentuk gagasan bersama parti lain tetapi dengan UMNO dia suruh ‘bubar UMNO masuk Pas’. Namun semuanya terletak pada kebijaksanaan bakal Presiden UMNO yang baharu.
SALEH
Kepala Batas, Pulau Pinang











