Tuah sepakan lencong Kroos - Utusan Malaysia

Tuah sepakan lencong Kroos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOCHI, Rusia 24 Jun – Joachim Loew menyifatkan ‘tuah’ menyebelahi Jerman selepas tendangan lencong Toni Kroos pada waktu kecederaan membantu skuad Die Mannschaft menewaskan Sweden 2-1 awal pagi tadi, sekali gus menghidupkan harapan mereka dalam Piala Dunia.

Selepas kalah kepada Mexico pada aksi pembukaan minggu lalu, juara bertahan itu berdepan detik cemas apabila Ola Toivonen meletakkan Sweden di depan pada minit ke-32.

Marco Reus berjaya menyamakan kedudukan, tiga minit memasuki babak kedua, namun Jerman tetap resah apabila Jerome Boateng dibuang padang pada minit ke-82 selepas menerima kad kuning kedua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Begitupun, Kroos yang melakukan kesilapan ketika Sweden memperoleh gol pertama, menebus kekecewaannya apabila menyempurnakan sepakan bebas yang menerjah ke penjuru gawang pada minit ke-95.

“Kami bernasib baik menang dalam waktu kecederaan dan bangkit daripada ketinggalan.

“Pada akhirnya, kami berhak menang kerana percaya kepada diri sendiri. Kami buktikan, skuad ini mempunyai moral yang tinggi dan Sweden sebenarnya hanya memperoleh dua peluang.

“Kesilapan boleh berlaku, termasuk oleh Toni Kroos. Jadi saya gembira dia kemudian menjaringkan gol,” kata Loew kepada penyiar televisyen Jerman, ARD.

Kemenangan membolehkan Jerman menduduki tangga kedua Kumpulan F dengan tiga mata di belakang Mexico, yang mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Korea Selatan 2-1.

Nasib mereka untuk melangkah ke peringkat kalah mati bergantung kepada perlawanan terakhir menentang Korea Selatan, Rabu ini.

Sweden, yang turut memiliki tiga mata akan berdepan Mexico.

Kali terakhir Jerman tersingkir seawal pusingan pertama Piala Dunia ialah pada 1938, namun kemenangan di Stadium Fisht telah membangkitkan semangat pemain mereka, dan memberi tamparan hebat buat Sweden.

Bagi Kroos, jaringan lewat permainan begitu istimewa, lebih-lebih lagi dia antara pemain yang menerima kritikan keras ekoran persembahan buruk pasukan sejak kebelakangan ini.

“Kami banyak menerima kritikan, hanya ada sebahagian teguran itu wajar dan ramai orang di Jerman akan berpuas hati jika kami tersingkir hari ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini