Trump ulang ancaman perang dagang - Utusan Malaysia

Trump ulang ancaman perang dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

QUEBEC CITY 10 Jun – Sidang kemuncak G7 di Ka­­nada berakhir penuh dra­matik, semalam apabila Pre­­siden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memperbaharui semula ancaman perang dagang dan menarik balik sokongan kepada kenyataan bersama pada persidangan itu selain menghina tuan rumah.

Hanya beberapa minit selepas satu kenyataan bersama yang dilu­luskan oleh beberapa pe­mimpin G7 diterbitkan, Trump melancarkan kritikan hebat menerusi Twitter beliau daripada pesawat Presiden, Air Force One.

Pemimpin AS itu yang meninggalkan sidang kemuncak tersebut lebih awal kerana perlu menghadiri sidang kemuncak bersejarah dengan Korea Utara di Singapura hanya membuat pengecualian terhadap komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dalam sidang media beliau.

“Berdasarkan kenyataan palsu Trudeau pada sidang akhbarnya, dan hakikat Kanada mengenakan tarif tinggi kepada peladang, pekerja dan syarikat Amerika Syarikat, saya mengarahkan wa­kil kami tidak menyokong ke­nyataan bersama, ketika kami juga mempertimbangkan tarif ke atas kenderaan yang membanjiri pasaran AS,” tulis Trump dalam tweet beliau.

“Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau yang bertindak begitu ‘lemah lembut’ semasa pertemuan kami di G7 hanya memberikan sidang media selepas saya beredar dan mengatakan bahawa ‘tarif AS adalah sejenis penghinaan dan dia tidak terikut dengan arahan’. Sangat tidak jujur ​​dan lemah,” tulis Trump.

Terdahulu, Trudeau membe­ritahu pemberita bahawa keputusan Trump untuk menyatakan keselamatan negara bagi membenarkan tarif AS ke atas import keluli dan aluminium adalah penghinaan kepada veteran Kanada yang telah berjuang bersama sekutu mereka, AS dalam konflik sejak Perang Dunia Pertama.

“Orang Kanada adalah sopan dan munasabah tetapi kami juga tidak boleh dibuat secara sesuka hati,” katanya.

Katanya, beliau ada memaklumkan kepada Trump bahawa adalah menjadi kekesalan namun ia akan menjadi jelas dan tegas yang kami akan mengambil langkah balas pada 1 Julai ini dengan mengenakan tarif yang sama kepada kadar yang ditetapkan secara tidak adil oleh Amerika ke atas Kanada.

Selepas tweet kemarahan Trump itu, pejabat Trudeau me­ngeluarkan kenyataan balas ringkas: “Kami memberi tum­puan kepada setiap perkara yang kami capai pada sidang kemuncak G7. Perdana Menteri berkata apa yang tidak dikatakannya sebelum ini baik di khalayak ramai dan dalam perbualan peribadi dengan Pre­siden.”

Walaupun ketegangan dan kesungguhan pemimpin Eropah, Presiden Perancis Emmanuel Macron dan Canselor Jerman, Angela Merkel untuk menolak serangan Trump terhadap sistem perdagangan dunia, sejurus Trump meninggalkan persidangan itu, dipercayai satu kompromi telah dicapai.

Pegawai delegasi Eropah de­ngan cepat membocorkan salinan kenyataan bersama itu dan ia diterbitkan secara terbuka dalam talian sebelum tweet Trump.

Salinan yang bermula “Kami, Pemimpin G7” diedarkan di da­lam bilik media yang dicop “Diluluskan.”

Bagaimanapun, kemarahan Trump itu bermakna sebarang perjanjian telah gagal dan ancamannya yang lebih jelas untuk mengenakan sekatan ke atas import kereta akan mengecilkan sekutu pentingnya khususnya Jerman dan Kanada. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN