TATAU – Tiga maut, manakala seorang lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Tatau-Bintulu di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, ketiga-tiga mangsa iaitu, Bakie Ladin, 33, Jeanity Leah Liana Lily, 9, dan Sai Imong, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Lily Kawan, 42, cedera.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, berdasarkan maklumat saksi, pada mulanya pemandu Proton Wira melanggar Proton Exora sebelum memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan Toyota Camry.
“Sebaik anggota bomba tiba di situ, mereka mendapati masing-masing dua mangsa di dalam Proton Wira dan Toyota Camry didapati tersepit.
“Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan semua mangsa sebelum pasukan perubatan mengesahkan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Tambahnya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tatau untuk tindakan selanjutnya. – K! ONLINE










