TATKALA mendapat tahu sampul berisi kad raya yang paling ditunggu-tunggu itu selamat tiba di rumahnya di Kampung Parit Ya’ani, Yong Peng, Johor, hati kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun itu melonjak girang.
Kad tersebut dihantar abang keduanya yang ketika itu bertugas sebagai pegawai imigresen di Tambak Johor, Johor Bahru. Bait-bait perkataan bertulisan tangan pada kad bertarikh 12 Jun 1985 itu agak ringkas namun cukup membuatkan kanak-kanak itu tersenyum sendiri ketika membacanya.
Selain mengandungi pesanan mengingatkan adiknya itu supaya rajin membantu ibu mereka dan berhati-hati ketika bermain bunga api, kad itu turut memberitahu bila tarikh pengirimnya akan pulang bercuti untuk menyambut lebaran.
Itu antara imbauan memori Azizan Ismail, 44, ketika berkongsi pengalaman menerima kad hari raya yang menjadi satu kemestian buat generasi era 80-an hingga 90-an.
Malah, usai tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Vokasional Perdagangan Johor Bahru, tradisi berutus kad hari raya turut menjadi wadah buat dirinya dan rakan-rakan bertanya keputusan peperiksaan dan perkembangan diri masing-masing.
“Kalau boleh segala tempat kosong yang ada kami akan manfaatkan untuk menulis pelbagai perkara. Bayangkan kad raya ala poskad yang cuma ada satu halaman dijual semurah 20 sen. Di ruang sempit itulah penuh segala macam coretan termasuk pantun dan ayat berbaur usikan dicurahkan.
“Tambahan pula saya dan rakan-rakan terutama yang tinggal di asrama memang rapat. Ketika itu pula tiada telefon bimbit sebagai penghubung jadi kami hanya bertukar alamat sebelum berpisah,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Puchong Utama, Selangor baru-baru ini.
Azizan yang mempunyai lebih 200 keping kad raya berkata, selain dikirim oleh ahli keluarga dan sahabat handai, ada antaranya dihadiahkan oleh rakan-rakan yang tidak lokek menyumbang kad-kad lama milik mereka kepadanya untuk disimpan.
Antara yang menarik perhatian ialah sekeping kad yang ditandatangani Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali ketika beliau bergelar Perdana Menteri Keempat.
Satu lagi kad yang agak istimewa ialah kad bertulisan jawi yang mempunyai tandatangan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang diterima pada tahun 2001.
“Ada antara kad raya tersebut pada asalnya dijadikan dekorasi di pejabat tetapi biasanya apabila musim perayaan berakhir ia akan dilupuskan jadi lebih baik saya simpan daripada dibuang begitu sahaja,” tuturnya yang berkhidmat di sebuah institusi kewangan di ibu kota.
Bapa kepada empat cahaya mata itu turut mengumpul lebih 10,000 sampul duit raya sejak lima tahun lalu. Kesemua koleksi tersebut disimpannya dengan cermat sama ada dimasukkan ke dalam album, fail plastik, dibukukan atau dibingkaikan.
Saksi sejarah
Menurut Azizan, dia tertarik mengumpul sampul duit raya kerana corak dan reka bentuknya yang menarik. Selain itu, ia juga boleh dianggap sebagai saksi sejarah kerana ada antaranya yang dikeluarkan oleh bank yang tidak wujud lagi pada masa kini.
“Ada daripada bank tersebut telah bergabung atau bertukar nama seperti Bank Utama, DRB Bank Group atau Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ (M) Berhad yang kini telah dijenamakan semula kepada MUFG Bank (M) Berhad,” ujarnya.
Dek kerana minat tersebut dia turut mengasaskan Kelab Koleksi Kad dan Sampul Perayaan (KKSP) menggunakan platform Facebook sejak tahun 2015. Setakat ini KKSP berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,300 ahli di seluruh Malaysia selain dari negara jiran Brunei dan Singapura.
Dalam pada itu, isteri kepada Azizan, Noraida Nazir, 43, yang setia menyokong minat suaminya berkata, dia sendiri ketika zaman kanak-kanak pernah membeli kad raya untuk diberi kepada ibunya dengan memasukkannya ke dalam peti surat sebagai kejutan.
Rutin itu diteruskan ketika dia menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut, Terengganu sejak tingkatan satu hingga tingkatan lima. Dia dan rakan-rakannya pasti tidak melepaskan peluang menghantar kad raya ke kampung halaman masing-masing.
Anak kelahiran Pasir Puteh, Kelantan itu menambah, ketika berhijrah ke Kuala Lumpur dia turut tidak lupa mengutus kad kepada pengasuh yang menjaganya sejak kecil dan dianggapnya seperti ibu sendiri.
“Ketika itu saya malu mengucapkan selamat hari raya dan memohon maaf secara berhadapan. Jadi, saya lebih selesa menulisnya untuk tatapan ibu. Ada juga kad yang dibuat sendiri menggunakan kad manila.
“Saya dan rakan-rakan juga saling bertukar kad hari raya walaupun tinggal di bilik asrama yang sama. Ketika itu, kad bermuzik paling popular selain kad bertema komik dengan dialog yang lucu,” imbaunya.
Secara peribadi, anak sulung daripada tujuh beradik itu menyifatkan sekeping kad raya mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding harga yang dibayar untuk membelinya.
Bagi pekerja sektor swasta itu, harga kad atau jenis kad yang diberi atau diterima tidak penting. Sebaliknya, keikhlasan seseorang memberi kad raya sudah cukup membuatkan dirinya rasa dihargai.
“Perasaan menerima kad raya fizikal dan ucapan secara maya sangat berbeza. Bagi saya kad raya ialah lambang kesungguhan apabila seseorang itu berusaha memilih kad yang paling ideal dan sedaya upaya menulis secantik mungkin khas untuk bakal penerima bingkisan mereka.
“Seingat saya lebih sedekad kebelakangan ini kami amat jarang menerima kad raya. Jika adapun kad raya daripada ahli korporat yang hanya mempunyai tanda tangan pengirim berserta ucapan bertulisan komputer yang sedia tertera pada kad,” ungkapnya.










