INDUSTRI teksi di Tokyo, Jepun sedang mengalami beberapa perubahan radikal sebagai persiapan negara itu untuk menjadi tuan rumah bagi dua acara sukan besar kira-kira 26 bulan akan datang.
Pada tahun 2017, lebih 28 juta pelancong melawat Jepun dan kerajaan telah menetapkan sasaran supaya angka itu meningkat kepada 40 juta menjelang tahun 2020.
Keadaan itu telah meningkatkan tekanan terutamanya untuk menaik taraf sistem pengangkutan di Tokyo.
Namun, Toyota yang merupakan sebuah syarikat pengeluar kereta terbesar di dunia percaya, mampu menangani tekanan tersebut.
Tahun lalu, Toyota telah melancarkan model teksi baharu yang dikenali sebagai Teksi JPN.
Enjin kenderaan hibrid itu menggunakan cecair gas petroleum (LPG) itu mampu mengurangkan pelepasan karbon.
Justeru, model baharu itu dijangkakan dapat memberi manfaat kepada lebih satu pertiga penduduk termasuk golongan kurang upaya serta warga emas menjelang pembukaan Sukan Olimpik pada Julai 2020.
Jepun merupakan antara negara yang mempunyai warga emas tertinggi di dunia dengan 27 peratus dan Teksi JPN mencerminkan perubahan demografi tersebut.
Ikon
“Kami menyaksikan keperluan pengangkutan awam yang lebih banyak seiring dengan kemajuan bandar-bandar dan keperluan penduduk di negara ini.
“Oleh itu, kami memilih konsep reka bentuk sejagat kerana Jepun mempunyai kadar peratusan warga emas yang tinggi berbanding negara lain di dunia,” kata Ketua Jurutera Toyota, Hiroshi Kayukawa.
Tempat duduk belakang Teksi JPN boleh dipindahkan dengan kemas di bawah tempat duduk dan dipasang dalam tempoh beberapa saat untuk pengguna yang berkerusi roda.
Selain itu, terdapat tanda kuning dan cahaya di lantai untuk membantu pengguna cacat penglihatan.
“Selepas Tokyo disahkan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2020, kami menjangkakan ada pelbagai kemudahan untuk pelancong.
“Kami juga melihat potensi teksi ini untuk menjadi ikon kepada negara bagi pelancong asing yang melawat Jepun,” tambah Kayukawa.
Oleh itu, pelbagai pendapat telah diutarakan mengenai pilihan warna yang akan digunakan sebelum Toyota memilih indigo sebagai warna rasmi kenderaan tersebut.
Kayukawa berkata, teksi itu dikenali sebagai Japan Blue, sekali gus berharap teksi tersebut akan menjadi simbol kepada Tokyo.
“Ia adalah warna logo Sukan Olimpik 2020, jadi kami berharap indigo akan menjadi warna yang menggambarkan imej Jepun itu sendiri,” katanya
Baru-baru ini Hinomaru Kotsu Co. iaitu salah sebuah firma teksi terbesar di bandar berkenaan mengupah 22 pemandu asing sebagai persediaan menghadapi musim Piala Dunia Ragbi 2019 dan Sukan Olimpik 2020.
Dengan purata usia pemandu teksi di Tokyo mencecah usia 60 tahun dan kekurangan pemandu yang sesuai, Hinomaru mula merekrut pemandu asing sejak tahun lalu.
Pemandu asing
Wolfgang Loeger dari Austria yang tinggal di Jepun selama lebih daripada tiga dekad adalah salah seorang yang terpilih untuk berkhidmat sebagai pemandu asing.
“Saya melihat iklan jawatan kosong dan cuba memohon kerana saya suka memandu serta bertemu dengan orang ramai.
“Setiap hari, saya akan bertemu dengan orang baharu dan ia adalah pekerjaan yang baik,” katanya.
Loeger yang berkahwin dengan warga tempatan dan mampu berbahasa Jepun dengan lancar berkata, kebanyakan pelanggan teruja untuk mengetahui asal usulnya.
“Sudah tentu kebanyakan orang mengatakan ia adalah kali pertama menaiki teksi yang dipandu oleh warga asing.
“Justeru, ini adalah cara terbaik untuk memulakan perbualan dengan mereka. Kebiasaannya mereka akan bertanya tentang asal usul saya,” katanya.
Hinomaru berharap kehadiran pemandu seperti Loeger yang boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa, pengguna akan berasa lebih selesa menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.
Dengan kuantiti teksi moden yang mencukupi selain didorong oleh perwatakan pemandu seperti Loeger, pelancong yang menjejakkan kaki ke Jepun pada Sukan Olimpik 2020 boleh mengharapkan perjalanan yang selesa di Tokyo. – Reuters










