Tekanan inflasi turun akhir tahun - Utusan Malaysia

Tekanan inflasi turun akhir tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Tekanan inflasi dijangka berkurang sehingga akhir tahun ini, sebahagian besar didorong oleh harga bahan bakar yang tidak lagi diapungkan setiap minggu tetapi sebaliknya ditambat pada harga semasa.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng berkata, langkah yang diperkenalkan pada Mei lalu oleh kerajaan baharu itu akan mengurangkan tekanan inflasi.

“Ia akan memberikan kesan pengurangan sehingga kerajaan memutuskan untuk menukar (dasar itu),” katanya kepada Bernama sebagai reaksi kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) lebih tinggi yang dicatat pada Mei lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

IHP naik sebanyak 1.8 peratus tahun ke tahun pada Mei lepas kepada 121.1 daripada 119 sebelum ini, dipacu oleh bahan api, makanan dan minuman bukan alkohol yang lebih mahal.

Indeks bagi kumpulan pe­ngangkutan naik sebanyak 3.8 peratus pada Mei 2018, manakala makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 peratus daripada IHP, meningkat 2.2 peratus.

IHP mengukur perubahan dalam tahap harga pasaran barangan pengguna dan perkhidmatan yang dibeli oleh isi rumah.

Ia adalah satu daripada beberapa indeks harga yang dikira oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dan perubahan peratusan tahunan digunakan sebagai ukuran inflasi.

Antara Januari hingga Mei 2018, IHP mencatat peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pada awal bulan ini, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM3 bilion untuk memberi subsidi sehingga akhir tahun bagi bahan api RON95 dan diesel masing-masing ditetapkan pada harga RM2.20 dan RM2.18 seliter­, manakala RON97 di­apungkan pada asas mingguan.

Kim Leng berkata, IHP yang lebih tinggi pada Mei, pada ke­seluruhannya dalam jangkaan pasaran dan masih boleh diurus kerana masih di bawah paras 2 peratus.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn. Bhd., Pong Teng Siew berkata, harga minyak yang stabil dan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) akan menyaksikan penurunan IHP menjelang akhir tahun.

“Kenaikan adalah pada tahap sederhana.

“Melangkah ke hadapan de­ngan GST yang berkadar sifar, kami menjangka IHP akan jatuh pada bulan ini dan mungkin mengekalkan kadar sederhana sehingga akhir tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini