KUALA LUMPUR 24 Jun – Tahap kesedaran mengenai pelaburan dana dagangan tukaran (ETF) di Malaysia masih di paras rendah terutamanya disebabkan oleh fleksibiliti dagangan, mudah tunai dan kemampuan bayaran pengurusan dana itu.
Ketua Pegawai Eksekutif i-VCAP, Khairi Shahrin Arief Baki berkata, ia adalah satu trend yang merugikan kerana ETF yang disenaraikan di peringkat domestik seperti siri MyETF patuh syariah disifatkan sebagai mekanisme pelaburan menarik sesuai untuk pelabur yang mahu menangani ketidaktentuan.
Sehubungan itu, katanya, syarikat akan bekerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan industri bagi menyokong program pendidikan membabitkan pelaburan ETF.
“Jika generasi muda tidak menerima sebarang pendedahan mengenai ETF, ia akan sentiasa menjadi cabaran besar untuk mendidik apabila mereka mula membuat pelaburan pertama dan yang berikutnya.
“Kami juga akan menggalakkan institusi pengajian tinggi (IPT) untuk memasukkan modul ETF dalam kurikulum kewangan atau pelaburan sebahagian daripada anjakan global besar-besaran terhadap pelaburan pasif,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Bagi membolehkan ETF bertapak dengan lebih kukuh, i-VCAP juga perlu memastikan pelabur runcit, sofistikated dan institusi benar-benar memahami manfaat dan risiko ETF sebagai mekanisme pelaburan.
i-VCAP merupakan anak syarikat milik penuh ValueCAP Sdn. Bhd. yang dimiliki bersama oleh Khazanah Nasional Bhd., Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB).
i-VCAP sering terbabit dalam siri jelajah pendidikan pelaburan negara, malah sudah memulakan usaha melibatkan pendidik, pelabur generasi berikutnya dan profesional dalam bidang pelaburan ETF yang berpotensi.
Dalam perkembangan lain, syarikat tersebut mengunjurkan pasaran ETF Malaysia berupaya merekodkan peningkatan penyertaan dan pertumbuhan yang lebih kukuh pada masa depan.
Khairi berkata, dua daripada lima ETF syarikat itu yang patuh syariah, MyETF MSCI Malaysia Islamic Dividend (MyETF-MMID) dan MyETF Dow Jones Islamic Market Malaysia Titans 25 (MyETF-DJIM25) mencatat peningkatan jumlah dagangan yang ketara mulai Januari hingga April pada tahun kewangan 2018 berbanding tahun sebelumnya.
Tambahnya, bagi tempoh empat bulan pertama tahun kewangan 2018, dagangan MyETF-MMID adalah sebanyak 28.77 juta berbanding 185,900 pada tahun sebelumnya, peningkatan sebanyak 155 kali.
“Manakala MyETF-DJIM25 berjumlah 22.91 juta unit iaitu pertambahan 258 kali daripada 88,800 unit yang didagangkan bagi tempoh sama tahun lepas.
“Peningkatan jumlah dagangan MyETF-MMID dan MyETF-DJIM25 berkenaan dilihat sebagai amat cerah kerana menggambarkan minat yang ketara terhadap ETF,” katanya.










