IPOH 1 Jun – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Hidayah di Rancangan Perumahan Tersusun Pegoh Seberang dan sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi; Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan upacara menanam Pokok Doa atau Bucida Variegated di pekarangan masjid berkenaan sebelum hadirin diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran.
Baginda berkenan membuka tirai plak sebagai simbolik perasmian masjid diikuti bacaan doa sebelum berbuka puasa bersama kira-kira 1,000 penduduk.
Selepas berbuka puasa, baginda menunaikan solat Maghrib secara berjemaah sebelum menyampaikan sumbangan zakat yang diwakilkan kepada penghulu-penghulu Mukim Ipoh, Mukim Ulu Kinta (Lahat, Tanjung Rambutan, Chemor), Mukim Sungai Raia, Mukim Sungai Terap, Mukim Tanjung Tualang dan Mukim Belanja Tronoh yang berjumlah RM1.174 juta. – UTUSAN ONLINE










