MARAN – Seorang bapa tidak dapat berkata-kata apabila menyaksikan aksi isteri menyembelih anak bongsu mereka sehingga kanak-kanak berusia dua tahun itu menemui ajalnya ketika seluruh umat Islam masih merayakan Hari Raya Aidilfitri dalam kejadian di Felda Puteri Malu, Jengka 13 di sini malam kelmarin.
Kejadian ngeri pada pukul 8.40 malam itu menyebabkan Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal, anak bongsu daripada tiga beradik itu mati dengan leher depannya mempunyai kesan cedera dikelar. Mangsa dikelar dalam sebuah bilik hanya sejurus selepas ibunya mendukung kanak-kanak itu masuk ke bilik untuk tidur.
Ketika tragedi tersebut, bapa mangsa, Muhammad Rizal Jusoh, 42, leka menonton bola sepak Piala Dunia antara Serbia dan Costa Rica di ruang tamu rumah manakala dua lagi abang mangsa iaitu Mohamad Nur Rusyaidi, 7, dan Mohamad Rafiuddin, 5, masih beraya di rumah saudara mereka di Triang.
Difahamkan, wanita yang didakwa mengelar anaknya sampai mati itu sejak sebulan lalu sering termenung selain dikatakan kerap mendengar suara orang berbisik kepadanya.










