KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbalik dalam satu kemalangan di Kilometer 33.5 Lebuh Raya Karak menghala ke ibu kota pada pukul 6.43 petang hari ini.
Difahamkan bas tersebut membawa seramai 42 penumpang dengan empat daripadanyanya mengalami kecederaan parah manakala 10 mangsa cedera ringan.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Sani Harul berkata, seramai 40 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong serta pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari balai Genting Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, bomba membantu mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit di dalam bas dengan menggunakan peralatan menyelamat bomba dan mangsa yang parah itu dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Seorang wanita yang cedera parah di kakinya telah diberikan rawatan awal oleh pasukan ERMS sebelum dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Sani menambah, sehingga pukul 7.40 malam pihak bomba masih berusaha menyelamatkan penumpang yang tersepit di dalam bas tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superitendan Tey Kong Seng ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Pasukan penyiasat masih berada di lokasi kejadian dan jumlah sebenar mangsa yang terbabit serta apakah penyebab kemalangan masih belum diketahui,” katanya. – K! ONLINE










