LUMUT – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes ugutan menggunakan parang,curi kenderaan dan dadah di Taman Indah Ria, Ayer Tawar di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 malam, suspek yang berusia dalam lingkungan 36 tahun itu ditahan anggota polis ketika menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, sewaktu diberkas, suspek sedang menggalas satu beg silang dan pemeriksaan menjumpai beberapa barang dipercayai dadah jenis ganja seberat 17.48 gram (g).
“Selain itu, kita turut menemui dadah jenis syabu seberat 1.33 g, heroin seberat 4 g, eramin 5 sebanyak 14 biji dan wang tunai sebanyak RM940 di dalam beg itu.
“Polis merampas motosikal curi yang dinaiki suspek dan sebilah parang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah dengan mengugut mangsa,” katanya.
Menurut Muhammad Hanif, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.
Jelasnya, suspek baru sahaja bebas dari penjara tiga bulan yang lalu atas kesalahan menjalankan aktiviti menjual dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan kesalahan memiliki kenderaan curi serta memiliki dadah.
Polis kini sedang giat memburu dua lagi rakan suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 30 an. – K! ONLINE










