KUALA LUMPUR 19 jun – Sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini lebih bermakna bagi golongan kurang berkemampuan di seluruh negara apabila menerima bantuan berjumlah RM240 sumbangan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Bantuan diberikan untuk membantu keluarga terbabit membuat persiapan Aidilfitri bagi memeriahkan lagi sambutan lebaran bersama ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakan taulan.
Bantuan tersebut merupakan tambahan kepada bantuan makanan sebanyak RM80 sebulan bagi tempoh setahun yang disalurkan oleh Petronas kepada golongan berkenaan di bawah program Sentuhan Kasih anjuran syarikat minyak negara itu.
Di bawah program tersebut, Petronas telah memperuntukkan berjumlah RM7 juta untuk diagihkan kepada golongan sasar di lapan buah negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Bantuan tersebut merupakan usaha Petronas dalam menyumbang kepada komuniti untuk meningkatkan taraf hidup golongan kurang berkemampuan di seluruh negara.
Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Petronas, Zahariah Abdul Rahman, program Sentuhan Kasih mula dilaksanakan pada April lalu membabitkan 4,200 keluarga di Kedah, Selangor, Kelantan, Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, melihat kepada kejayaan program tersebut semenjak ia dilancarkan, pihaknya terpanggil untuk meneruskan pelaksanaannya ke tiga buah lagi negeri iaitu Melaka, Johor dan Terengganu membabitkan 1,200 penerima.
“Melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini, kami juga berharap dapat menyemarakkan keceriaan dalam kalangan masyarakat sempena musim perayaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Menurut Zahariah, bantuan yang disalurkan akan diurus dan diagihkan melalui Yayasan MyKasih bermula April lalu hingga Mac 2019.
Jelasnya, bantuan diagihkan melalui kaedah tanpa tunai di mana setiap penerima boleh membeli barangan keperluan mereka di pasar raya terpilih menggunakan MyKad masing-masing.
“Sejak tahun 2005, Petronas telah menjayakan pelbagai inisiatif bagi membantu meningkatkan kehidupan masyarakat termasuk melalui program Sentuhan Kasih,” jelasnya.










