SHAH ALAM 24 Jun – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini dilihat semakin berpengaruh dalam PKR sedia disiasat berhubung dakwaan beliau dan isterinya, Datin Seri Shamsidar Taharin, mengumpul lebih RM300 juta sepanjang menjadi Menteri Besar Selangor.
Dakwaan yang tiba-tiba muncul terutamanya selepas Mohamed Azmin berjaya membuktikan pengaruhnya dalam pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu, disifatkan Timbalan Presiden PKR itu sebagai berniat jahat, fitnah serta cubaan untuk mencemarkan reputasinya.
Mohamed Azmin yang kini dilihat banyak pihak berkemampuan untuk menggugat ‘kem Segambut’ dalam PKR berkata, pihak yang membuat tuduhan itu perlu tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar beliau memiliki kekayaan sebegitu.
“Saya dari dulu (sedia disiasat) dan tuduhan ini bukannya baharu.
“Perkara ini tidak patut berlaku dalam suasana hari ini dan sekiranya mana-mana individu dan pihak mempunyai bukti kukuh, harus tampil kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dilakukan,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah; Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abd. Rahman dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli untuk menikmati juadah Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Namun, Mohamed Azmin dan isteri terlebih dahulu meninggalkan majlis sebelum Wan Azizah dan tetamu kehormat lain berbuat demikian.
Pada 18 Jun lalu, sebuah laman blog mendakwa Mohamed Azmin memiliki 54 akaun bank di Malaysia, Indonesia, Singapura, Dubai, Hong Kong, India, Shanghai (China), Abu Dhabi, Australia, Zurich (New Zealand) dan Amerika Syarikat selain Shamsidar turut dikatakan memiliki 47 akaun.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin memberitahu, beliau juga bersedia untuk mengisytiharkan hartanya jika itu dapat memuaskan hati banyak pihak.
“Kita memang sudah amalkan sejak 2008 (ketika mentadbir negeri Selangor) iaitu dasar kita ialah semua pihak eksekutif melaporkan aset supaya ketelusan dan kebertanggungjawaban menjadi prinsip dalam pentadbiran,” jelasnya.
Sementara itu, Shamsidar yang berada di sisi Mohamed Azmin ketika dilemparkan pertanyaan sama oleh wartawan berkata: “Saya harap (jika benar memiliki lebih RM300 juta).
Bagaimanapun, apabila wartawan sama bertanyakan maksud ‘harap’, Shamsidar yang dilihat tidak selesa mempersoalkan mengapa bertanyakan soalan sebegitu, sedangkan beliau tidak mengetahui apa-apa.











