PASIR PUTEH 25 Jun – Sekumpulan 20 pemuda ini sepakat membina sebuah litar bagi perlumbaan kereta lasak kawalan jauh untuk peminat hobi tersebut.
Pengurus Litar Kelab Pasir Puteh RC Speedway, Eddy Mustafa berkata, litar perlumbaan yang dibina di atas tanah miliknya adalah sebuah gelanggang yang sempurna bagi peminat kereta kawalan jauh tersebut beraksi dengan lebih selesa.
Menurutnya, setakat ini sebanyak RM6,000 hasil kutipan daripada ahli kelab dibelanjakan untuk membina litar yang memberi kemudahan kepada ahli atau pemilik kereta kawalan jauh menguji kehebatan kenderaan masing-masing pada setiap hujung minggu.
“Setiap Jumaat dan Sabtu, litar ini penuh. Ahli-ahli kelab dan peminat kereta lasak kawalan jauh akan berkumpul. Bahkan orang ramai juga datang untuk tengok kereta-kereta ini beraksi.
“Bagi saya, litar ini telah menyatukan kami. Menjadi satu tempat rekreasi dan bersantai pada petang hujung minggu terutama generasi muda daripada membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah,” katanya di sini, semalam.
Eddy berkata, kelab itu masih memerlukan dana bagi melengkapkan litar yang dibina dengan pentas khusus untuk pengendali kereta, sistem semburan air bagi memastikan trek tidak terlalu kering dan berdebu serta garisan penghadang.
Ujarnya, penubuhan kelab berkenaan bukan sekadar menyemarakkan perkongsian hobi yang sama tetapi turut memberi fokus kepada penglibatan lebih jauh iaitu menyertai pertandingan yang lebih berprestij di seluruh negara.
“Kita ada matlamat, bukan sekadar hobi sebab itulah ahli kelab diminta memberikan komitmen tinggi dalam meningkatkan prestasi masing-masing,” katanya.
Eddy berkata, mereka yang berminat dengan hobi tersebut perlu mengeluarkan perbelanjaan antara RM800 hingga RM1,000 untuk permulaan sebelum beralih ke kereta lebih mahal iaitu dari RM2,000 hingga RM3,000.










